KUCHING: Seorang penganggur dipenjara tiga bulan dan dikenakan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencuri di dalam pasar raya, minggu lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi mengenakan hukuman itu selepas Christopher Lee Chun Lung, 30, mengaku salah terhadap tuduhan itu.
Jika gagal menjelaskan denda, tertuduh boleh dipenjara dua bulan.
Mengikut pertuduhan, Christopher didakwa mencuri pelbagai barangan termasuk sudu, pembuka tin, susu, kepingan salmon dan lain-lain yang dianggarkan berjumlah RM128.32.
Perbuatan terbabit dilakukannya di sebuah pasar raya di Jalan Simpang 3, Kampung Kenyalang Park pada pukul 8.16 malam, 5 Julai lalu.
Menurut fakta kes, ketika pengawal keselamatan membuat rondaan di bahagian makanan, dia ternampak tertuduh memasukkan barangan yang disyaki curi ke dalam beg sandang miliknya.
Tertuduh kemudiannya terus keluar tanpa membuat sebarang pembayaran.
Justeru, pengawal keselamatan berkenaan bertindak memeriksa tertuduh dan mendapati dia gagal menunjukkan resit pembayaran.
Rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkan bahawa tertuduh mencuri barang-barang tersebut.
Oleh itu, tertuduh didakwa oleh Inspektor Muzaffar Shah Ibrahim mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Mahkamah juga menetapkan agar tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Tertuduh tidak diwakili Peguam. – Utusan Borneo Online