KUCHING: Sambutan Hari Sarawak yang disambut hari ini sedikit suram berikutan pemergian bekas jurulatih bola sepak tersohor Sarawak, Mohd Poasa Sahar.
Poasa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak sekitar jam 12.15 tengah hari pada usia 77 tahun akibat penyakit kencing manis.
Menurut anak sulung allahyarham, Norjanah Mohd Poasa, 51, ayahnya ditemui terjatuh dalam surau di Perumahan Fasa II, Petra Jaya selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.
“Beliau dibawa ke hospital (HUS) dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari.
“Allahyarham tidak menunjukkan apa-apa tanda dan pemergiannya amat dirasai,” katanya.
Allahyarham meninggalkan balu Halimah Awi, 73, empat orang anak dan 12 cucu.
Poasa merupakan jurulatih pertama skuad bola sepak Sarawak dari tahun 1979 hingga 1981.
Allahyarham diingati peminat bola sepak tempatan kerana menjadi individu yang membawa kejayaan skuad bola sepak Sukma Sarawak menggondol pingat emas pada 1990.
Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang petang ini. – Utusan Borneo Online