NEW DELHI – Sebuah objek dipercayai meteorit bersaiz bola sepak terhempas di sebuah sawah padi di timur India dan mengejutkan petani, kata pihak berkuasa hari ini.
Orang ramai yang berada di kawasan tersebut melarikan diri selepas melihat objek berwarna perang muda terhempas dan mengeluarkan asap di sebuah perkampungan tengah hari Isnin lalu.
“Petani-petani tersebut sedang melakukan kerja-kerja di sawah padi ketika batu angkasa tersebut jatuh dari langit dan mengeluarkan bunyi bising yang amat kuat,” kata majistret daerah Madhubani di negeri Bihar, Shirsat Kapil Ashok kepada agensi berita AFP.
Penduduk kampung kemudiannya kembali semula ke lokasi tersebut selepas asap hilang dan menarik keluar batu tersebut dari kawah sedalam 1.2 meter.
“Kami melihat ia mempunyai sifat magnetik yang sangat kuat, bersinar dan mempunyai berat sekitar 15 kilogram,” tambah Ashok.
Penemuan itu sedang dianalisis oleh sepasukan saintis untuk melihat kebarangkalian objek tersebut adalah sebuah meteorit.
Meteor atau tahi bintang adalah partikel debu dan batuan yang biasanya terbakar ketika melalui atmosfera Bumi dan sisa yang terhempas ke bumi dipanggil meteorit.
Pada tahun 2016, pihak berkuasa di selatan negeri Tamil Nadu berkata, sebuah meteorit membunuh seorang pemandu bas dan mencederakan tiga yang lain.
Ketika saintis India menyokong dakwaan pihak berkuasa wilayah, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat berkata, agensi itu tidak mempercayai objek tersebut adalah sebuah meteorit.
Pada Februari 2013, sebuah meteorit menghentam kawasan pergunungan Ural di Rusia dan menyebabkan gelombang kejutan (shock wave) yang mencederakan kira-kira 1,200 orang dan merosakkan ribuan kediaman. – AFP