KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin menang besar pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing.
Beliau menyatakan, ini adalah kerana Pakatan Harapan (PH) tidak dapat bergantung kepada janji-janji mereka untuk menarik pengundi di Sarawak.
Rakyat Sarawak katanya, mengetahui sejauh mana keupayaan kerajaan PH dalam menunaikan janji mereka.
“Tidak mahu diperbodohkan dua kali,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa PRN akan datang menjadi pertarungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara persekutuan dan negeri, yang digambarkan sebagai ‘pertarungan hebat’.
Mengenai penyertaan Parti Sarawak Bersatu (PSB), Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, ia tidak ada banyak bezanya.
Beliau berkata sama ada mereka (PSB) berada atau tidak dalam objektif untuk Sarawak, rakyat akan menilai matlamat mereka dengan jelas.
Sebelum ini pada Majlis Makan Malam ‘Harapan Sarawak Baru’ Chong dilaporkan berkata, PH merupakan kerajaan persekutuan, GPS adalah kerajaan negeri dan GPS adalah kerajaan kecil berbanding PH adalah kerajaan besar.
“GPS menghangatkan sentimen rakyat bahawa pakatan adalah parti Malaya. Ini adalah mesej yang mengelirukan dan tidak benar.
“Pakatan Harapan adalah parti nasional dan untuk membawa perubahan kepada Sarawak anda memerlukan parti nasional dan bukannya parti tempatan seperti GPS,” katanya. – Utusan Borneo Online