HUNGARORING, Hungary: Mick Schumacher, anak juara dunia Formula Satu (F1) sebanyak tujuh kali, Michael, merangkul gelaran pertamanya dalam perlumbaan Formula Dua (F2) di Hungary, semalam.
Pemandu berumur 20 tahun dari Jerman itu bermula di petak utama menuju ke garisan penamat di Hungaroring, di mana ayahnya memenangi perlumbaan F1 sebanyak empat kali.
Kejayaan pemandu akademi Ferrari itu disambut meriah penonton yang hadir yang kebanyakan peminat pasukan Itali itu menjelang perlumbaan Formula Satu selepas itu.
“Ia adalah sangat istimewa,” katanya tentang kemenangan di litar yang menyaksikan ayahnya, yang tidak kelihatan di tempat awam sejak mengalami kecederaan di kepala ketika kemalangan meluncur ski pada 2013, di mana beliau merangkul gelaran keempat pada 2001 bersama Ferrari.
“Ibu saya, seluruh keluarga kami sebenarnya ada di sini; ibu, kakak dan teman lelakinya serta nenek saya juga di sini,” katanya.
“Saya sangat gembira mereka berada di sini dan memberikan sokongan.”
Pemandu Jepun, Nobuharu Matsushita menamatkan saingan dengan hanya 1.4 saat di belakang pemandu pasukan Prema itu selepas pertarungan sengit sepanjang perlumbaan. Pemandu Brazil, Sergio Sette Camara berada di tempat ketiga.
Mick Schumacher, pemenang F3 pada tahun lalu dikatakan bakal berpotensi memberi tentangan dalam F1, sebelum ini sekadar mencatatkan keputusan terbaik di tempat keempat dalam F2. – AGENSI