KUCHING: Ketua Menteri semalam berkata Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk memperkenalkan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang lebih mudah dilaksanakan dengan kos yang lebih murah berbanding Transit Aliran Ringan (LRT).
Jelasnya, ART itu seperti bas transit tetapi badannya seperti kereta api dengan mempunyai gerabak, tetapi tidak menggunakan landasan.
“Ada peralatan peranti yang dipasangkan dalam kereta api,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Sejak beberapa bulan lalu, Ketua Menteri kelihatan begitu komited untuk menangani isu kesesakan lalu lintas di laluan Kuching-Samarahan yang menyebabkan pengguna jalan raya terperangkap teruk dalam kesesakan.
Satu daripada jalan keluar untuk jangka panjang bagi penganalisis dan pakar adalah dengan menyediakan pengangkutan awam moden yang lebih efisien termasuk LRT.
Tetapi sejak kembali dari kunjungan di China baru-baru ini, Abang Johari melontarkan cadangan baharu untuk memperkenalkan ART.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Hotel Imperial di sini.
“Kita akan laksanakannyanya kerana kosnya lebih murah tetapi kita perlu juruteknik dan jurutera untuk perkara ini bagi memudahkan ia diselenggarakan kelak,” ujarnya.
Menurut Abang Johari, pada masa kini kebanyakan peralatan, pengangkutan, perkhidmatan dan sebagainya menggunakan digital.
Untuk itu, beliau mengingatkan para jurutera agar menerapkan teknologi dalam pekerjaan mereka.
“Itulah sebabnya Sarawak menggunakan ekonomi digital untuk memajukan negeri ini,” tegasnya sambil menambah kawasan yang luas di negeri ini menyebabkan ia perlu memilih teknologi yang sesuai untuk memajukan Sarawak. – SarawakVoice