LONDON, England: Wayne Rooney berkata keinginan sekian lama untuk menjadi jurulatih telah membangkitkan keputusan beliau untuk meninggalkan DC United ketika bekas kapten kebangsaan England itu bersetuju dengan satu perjanjian mengejut untuk menjadi pemain-jurulatih di kelab Liga Kejuaraan, Derby County Selasa lepas.
Penjaring gol terbanyak untuk England dan bekas kelab Manchester United itu menandatangani kontrak 18 bulan bersama Derby dan akan secara rasmi menyertai Derby pada Januari 2020 sebaik sahaja menamatkan musim bola sepak di Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat (AS).
Minat Derby kepada bekas bintang United itu muncul tidak lama sebelum Derby, di bawah kendalian jurulatih baharu, Philip Cocu, memulakan musim baharu dengan kemenangan 2-1 ke atas Huddersfield Isnin lepas.
Laporan mencadangkan isteri Rooney, Coleen, terlalu rindu dengan kampung halamannya dan sudah kembali ke England bersama anak-anak mereka.
Rooney mengakui beliau berminat untuk kembali ke England tetapi sedang berusaha untuk mendapatkan kelayakan (lesen) sebagai jurulatih dan menegaskan peluang untuk belajar dari bekas jurulatih PSV Eindhoven, Cocu, adalah motivasi terbesar untuk perpindahan yang tidak diduga itu.
“Peluang untuk kembali ke England dan bermain tetapi juga untuk mengisi jawatan sebagai jurulatih bersama kelab dan bekerja bersama Philip adalah terlalu hebat untuk ditolak,” kata Rooney pada satu sidang media Selasa lepas.
“Pertama sekali, saya datang untuk bermain dan membantu pasukan dan kedua, saya mahu belajar dari Philip dan kakitangannya, untuk mendapat pengalaman di mana apabila saya berhenti bermain saya sudah bersedia untuk langkah seterusnya.
“Ada kelab lain yang membuat tawaran dan bertanya tentang saya tetapi saya membuat keputusan untuk datang ke sini dan saya tidak akan mengubah keputusan itu.”
Rooney, 33, berharap masa beliau di Pride Park adalah satu lagi langkah untuk akhirnya menjadi seorang pengurus, dengan satu perwakilan dari Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris akan ke AS minggu hadapan untuk membantu beliau dalam proses mendapatkan lesen jurulatih.
Rooney adalah bekas pemain kelapan dari skuad England di Euro 2004 yang menjadi jurulatih atau dalam bidang pengurusan bola sepak selepas Frank Lampard, yang sekarang menjadi pengurus di Chelsea, Steven Gerrard di Rangers dan Sol Campbell di Macclesfield.
Gary Neville gagal menyerlah pada tempoh singkat di Valencia, adiknya, Phil adalah jurulatih skuad wanita England dan John Terry adalah penolong kepada Dean Smith di Aston Villa, sementara Paul Scholes pernah menjadi jurulatih sementara di Oldham musim lepas.
“Saya fikir ia hebat untuk melihat mereka berada dalam bidang pengurusan tetapi ia bukan tentang apa yang mereka lakukan sekarang,” kata Rooney.
“Ini adalah sesuatu yang saya sentiasa mahu lakukan. Ia hebat di mana pengurus muda tempatan mendapat peluang.
“Sepanjang 15 atau 20 tahun terakhir, kita tidak melihat begitu ramai bekas pemain menjadi jurulatih, jadi ia sememangnya menarik untuk melakukannya.
“Ia sesuatu yang saya sentiasa mahu lakukan apabila tiba masanya, jadi saya berharap membantu untuk peralihan karier saya.”
Cocu berkata pengalaman Rooney adalah perangsang besar buat kelab ketika mengintai peluang kembali ke Liga Perdana buat kali pertama sejak 2008.
Rooney menjaringkan 23 gol dari 43 penampilan bersama DC United sejak tiba dari Everton dengan kontrak tiga tahun pada tahun lepas.
Derby juga menandatangani kontrak penajaan jersi lumayan ekoran pembelian Rooney, dengan pendapatan kelab akan membantu untuk membayar gaji beliau sekitar 100,000 pound seminggu.
Kepulangan Rooney ke England hadir di penghujung karier gemilang beliau yang telah meletakkannya sebagai ikon kepada kelab dan negaranya.
Kemunculan mendadak beliau bermula pada Ogos 2002 apabila membuat penampilan sulung bersama Everton pada usia 16 tahun, menjadi penjaring paling muda dalam Liga Perdana dengan satu rembatan jarak jauh cantik ketika menentang Arsenal sebelum ulang tahun kelahiran ke-17.
Sepanjang 13 tahun bersama United, yang disertainya pada 2004, Rooney memenangi lima trofi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA dan tiga Piala Liga Inggeris.
Rooney adalah penjaring kedua terbanyak dalam sejarah Liga Perdana dengan 208 gol.
Beliau memecah rekod 49 gol Bobby Charlton apabila menamatkan karier bersama England dengan 53 gol dari 120 penampilan tetapi masa beliau bersama England lebih dikenali dengan prestasi hambar pada kejohanan besar. — AFP