LONDON: Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku ketika ini berada di Itali bagi melengkapkan perpindahannya ke Inter Milan, kata ejennya Federico Pastorello.
Perbincangan membabitkan perpindahan itu sedang berlangsung dengan United dan Inter dikatakan berusaha mencari jalan bagi memastikan penyerang kelahiran Belgium itu bergabung dengan jurulatih Nerazzurri, Antonio Conte.
Perkembangan terbaharu itu membuktikan hubungan Lukaku dengan bos United, Ole Gunnar Solskjaer semakin retak selepas pengendali dari Norway itu memberitahu penyerangnya itu dijangka akan berlatih bersama skuad bawah 23 tahun sehingga kekusutan membabitkan masa depannya selesai.
Conte sudah lama meminati bekas penyerang Everton itu dan pernah beberapa kali memancingnya sebelum ini ketika dia mengendalikan Juventus dan Chelsea.
Begitupun, penantian itu hampir berakhir apabila ejen Lukaku, Pastorello, memaparkan gambar pemain itu dan dirinya di dalam kapal terbang di Instagram dengan kedua-duanya dikatakan sedang menuju ke Itali bagi menjalani ujian perubatan dan melengkapkan perjanjian.
“Bersedia untuk berlepas… arah Milan!!! Inter kami datang.”
Inter dilaporkan bersedia untuk membayar €65 juta (RM306.36 juta) bagi mendapatkan Lukaku dan berpotensi meningkat sebanyak €13 juta (RM61.27 juta).
Lukaku tiba di Old Trafford pada 2017 dari Everton dengan nilai £75 juta (RM383.06 juta) dan United berharap untuk mendapatkan kembali pelaburan ketika mereka menandatangani pemain berkenaan. – Agensi