LONG LAMA: Kerajaan negeri bersetuju menggunakan nama mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) untuk jambatan Long Lama yang dirasmikan hari ini.
Pengumuman nama jambatan itu dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis perasmiannya hari ini yang dihadiri lebih 3,000 penduduk.
Abang Johari berkata, nama Tok Nan dipilih sebagai mengenang jasanya yang meluluskan pembinaan projek itu, dan atas kehendak penduduk Baram untuk menggunakan nama beliau.
“Walaupun Tok Nan (sudah) tiada, Tok Johari teruskan pembinaan jambatan,” jelas beliau sambil menambah, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memastikan projek yang dijanjikan akan terus dibangunkan dan disiapkan.
Dibangunkan untuk manfaat generasi baharu, jambatan itu pasti akan memacu ekonomi di pekan Long Lama dan Baram amnya dengan adanya akses jalan raya yang baik antara Miri, Marudi dan Baram.
Terletak kira-kira 140 kilometer dari bandar raya Miri, jambatan sepanjang 573 meter itu dibina dengan kos RM67.1 juta.
Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, jambatan tersebut dibina mengikut jadual iaitu tiga tahun.
Pembinaannya menunjukkan kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar dengan menyediakan kemudahan yang memanfaatkan semua.
“Jambatan ini akan memberi impak kepada lebih 37,000 penduduk, mendekatkan jarak perjalanan yang dulunya bergantung kepada feri,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala; ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat Shin Yang Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho. – Utusan Borneo Online