Kejuaraan liga lebih penting dari segala-galanya 0 5675

LIVERPOOL, England: Walaupun terlepas peluang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas satu musim cemerlang, yang diubati dengan memenangi kejuaraan Piala Eropah buat kali keenam dalam sejarah kelab Liverpool musim lepas, menamatkan penantian 30 tahun memenangi kejuaraan liga kini menjadi lebih penting dari segala-galanya buat kelab dari Merseyside itu.

Skuad kendalian Jurgen Klopp dijangka memberikan isyarat pertama untuk kembali memburu saingan kejuaraan liga apabila memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris 2019/2018 dengan menentang pendatang baharu liga, Norwich City di Anfield hari ini.

Bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan pesaing mereka yang memperkuatkan pasukan dengan bakat-bakat baharu pada satu pasaran perpindahan di mana kelab-kelab Liga Perdana berbelanja lebih 1 bilion pound, juara Eropah itu agak senyap dalam pasaran perpindahan.

Bakat remaja Sepp van den Berg dan Harvey Elliott, dibeli untuk fokus kepada masa hadapan kelab sementara penjaga gol Adrian, akan menggantikan Simon Mignolet sebagai sokongan kepada penjaga gol nombor satu kelab, Alisson Becker.

Klopp bagaimanapun percaya asas yang sudah ada untuk satu lagi cabaran memburu kejuaraan selepas membelanjakan 230 juta pound sepanjang dua tahun terakhir dengan pembelian Alisson, Virgil van Dijk dan Mohamed Salah.

“Anda seharusnya tidak melakukan pembelian hanya kerana pasukan lain membeli pemain baharu,” kata Klopp.

“Ia tidak masuk akal, ia bukan tentang itu. Dan jika anda melihat skuad yang anda ada, adakah kami memerlukan lebih ramai lagi pemain?”

Berdasarkan bukti musim lepas, tiada banyak yang boleh diperbaiki oleh Liverpool.

Dengan mengutip 97 mata dalam Liga Perdana – satu kedudukan membolehkan mereka memenangi kejuaraan liga pada musim-musim lain kecuali dua musim terakhir ketika Manchester City mencipta penanda aras baharu di bawah kendalian Pep Guardiola.

City memperkuatkan skuad yang memenangi kejuaraan treble (tiga trofi) domestik yang pertama di England musim lepas, dengan rekod pembelian pemain tengah dari Sepanyol, Rodri dan akan menjadi sasaran yang sama untuk ditewaskan oleh Liverpool.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan pembuka tirai Piala Perisai Komuniti sebelum City menang 5-4 menerusi sepakan penalti minggu lepas, sekali lagi menunjukkan betapa tiada banyak yang membezakan kedua-dua kelab.

Namun, berbeza kepada musim lepas apabila Liverpool kurang terjejas dengan enam pemain yang tiba lewat untuk pramusim dari Piala Dunia 2018, Klopp mempunyai masa yang sukar untuk persediaan musim ini.

Tiga penyerang sensasinya, Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, terlibat dalam kejohanan antarabangsa sekali lagi pada musim panas lalu.

Liverpool juga tidak berbelanja besar untuk menyokong ketiadaan ketiga-tiga pemain di mana kempen pramusim menyaksikan mereka tewas kepada Borussia Dortmund, Sevilla dan Napoli.

Tetapi Klopp percaya skuad yang dikumpulkan akan diperkuatkan dengan Alex Oxlade-Chamberlain, Adam Lallana dan Rhian Brewster yang akan kembali cergas sementara Nabi Keita boleh mempunyai impak yang lebih besar pada musim kedua beliau dalam bola sepak Inggeris.

Memenangi Liga Juara-Juara juga memastikan Liverpool mempunyai lebih banyak perlawanan musim ini – dengan perlawanan Piala Super UEFA minggu hadapan dan Piala Kelab Dunia pada bulan Disember, bermakna mereka mempunyai lima pertandingan disertai musim ini.

Bagaimanapun, menamatkan kemarau 30 tahun tanpa kejuaraan liga mungkin akan menentukan sama ada musim Liverpool itu berjaya atau tidak. — AFP

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13000

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 12474

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news