MIRI: Gara-gara melakukan gurauan terhadap kakitangan daftar masuk sebuah syarikat penerbangan dengan mengatakan membawa bom di dalam bagasi, seorang krew perkapalan ditangkap polis di Lapangan Terbang Miri (LTM) pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata suspek lelaki berusia 28 tahun ditahan sejurus pemeriksaan beg yang kononnya mengandungi bom dibuat di Balai Polis LTM.
“Terdahulu, sekitar pukul 8.10 pagi, pengadu yang juga kakitangan sebuah syarikat penerbangan hendak mendaftar masuk penumpang ke Kuala Lumpur.
“Pengadu ada bertanyakan kepada seorang penumpang ada membawa ‘power bank’ di dalam bagasi tersebut tetapi ada seorang lagi rakannya telah memberitahu tiada membawa ‘power bank’ tetapi ada membawa bom.
“Pengadu mengulangi pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali dan seorang penumpang tersebut masih memberitahu membawa bom. Apabila mendengar perkataan tersebut, pengadu berasa bimbang dan telah memanggil anggota keselamatan syarikat penerbangan untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pemeriksaan beg suspek yang kononnya membawa bom yang dibuat di Balai Polis LTM mendapati ianya tidak benar.
Lim menasihatkan agar orang ramai tidak membuat gurauan yang berunsur ugutan yang membahayakan orang ramai semasa hendak menaiki pesawat kerana ianya adalah kesalahan yang serius.
Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – – Utusan Borneo Online