KUCHING: Sebanyak 850 ekor buaya dieksport ke luar negara dari negeri ini dalam setahun sejak 2017, terutama ke Hong Kong dan United Kingdom.
Menurut Timbalan Pegawal Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading, buaya liar dibenarkan menjadi haiwan komersial sejak Oktober 2018 dan aktiviti mengeksport buaya bermula sejak 2018.
“Sejak dua tahun lepas, bermula 2017, kita telah mengeksport 850 ekor buaya setahun ke Hong Kong, United Kingdom dan negara lain,” jelasnya di sini semalam.
Jelasnya, buaya yang dieksport itu tidak termasuk buaya ternakan.
“Buaya yang dieksport ialah buaya liar yang ditangkap di sungai dan bukan buaya ternakan,” katanya lagi.
Sebelum ini Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dilaporkan mengesahkan sebuah syarikat di negeri ini memiliki permit sah untuk mengeksport buaya hidup yang diternak di ladang miliknya di Siburan, Serian ke luar negara.
Difahamkan sebanyak 60 lesen memburu buaya dikeluarkan sejak dua tahun lalu sebagai langkah mengawal peningkatan populasi reptilia itu bagi mengelakkan wujud konflik dengan manusia di negeri ini.
Ia termasuk lesen bagi penjualan daging dan kulit buaya, terutama bagi tujuan perubatan serta pembuatan produk kraf.
Kata laporan berkenaan, pengeluaran lesen pemburuan dan penjualan buaya bertujuan mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya terhadap manusia.
Inisiatif berkenaan turut membantu mewujudkan sumber pendapatan bagi masyarakat setempat, terutama di kawasan sungai dikenal pasti memiliki kepadatan buaya yang tinggi.-SarawakVoice