SIBU: Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan polis selepas gagal memberi alasan munasabah ketika mereka mengangkat satu set sofa di hadapan sebuah kedai perabot di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, dua suspek yang merupakan pasangan kekasih berumur 47 dan 34 tahun terbabit ditahan anggota polis dari Balai Polis Hulu Lanang di Pusat Suria Permata, Jalan Upper Lanang 12 pada jam 11.10 malam.
“Pasangan itu gagal memberi alasan berkaitan satu set sofa yang diangkat dan cuba dimasukkan ke dalam but kereta ketika itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Stanley berkata, polis yang terserempak dengan dua suspek terbabit yang berkelakuan mencurigakan ketika membuat rutin rondaan di hadapan kedai perabot berkenaan bertindak menahan dan menyoal mereka.
Bagaimanapun, kedua-dua suspek gagal memberi alasan kukuh kepada anggota polis bertugas menyebabkan polis bertindak menahan mereka.
“Katanya, polis kemudian bertindak membawa pasangan terbabit ke balai untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Siasatan lanjut polis mendapati pasangan tersebut merupakan kekasih yang disyaki mencuri perabot di lokasi kejadian,” jelasnya.
Justeru katanya, polis telah merampas sebuah kereta dan satu set sofa sebagai barang kes.
“Kedua-dua suspek akan direman selama lima hari sehingga 4 November untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya lagi. – Utusan Borneo Online