KUCHING: Bertindak atas aduan awam dan berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, Pejabat Wilayah Serantau Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd Bhd (SFCSB) Sibu dan Bintulu telah menjalankan operasi membanteras aktiviti pembalakan haram di kawasan Baleh, Kapit.
Ia merupakan operasi bersama dengan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri dan Polis Marin Sibu bermula 7 hingga 10 Ogos lepas.
Hasil daripadanya berjaya mengesan dan menahan balak dan jentera yang digunakan di pelbagai tempat.
Sebanyak 794 batang kayu balak haram telah dirampas bersama dua jengkaut, empat traktor dan dua lori.
Kayu dibalak secara haram dari kawasan lesen balak berdekatan dan tidak terdapat sebarang tanda rasmi pada kayu tersebut.
Pada masa serbuan, tiada seorang pun ditemui di tempat kejadian.
Semua kes telah dilaporkan ke balai polis dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk siasatan lanjut. – Utusan Borneo Online