KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata beliau tidak takut sesiapa melainkan takut kepada Tuhan di sebalik tuduhan dan kenyataan berniat jahat yang dilemparkan oleh Adun Pending, Violet Yong di dalam Dewan Undangan Negeri terhadap anak-anak dan keluarganya.
“Saya ingin menyatakan bahawa sebagai seorang Islam yang taat kepada ajaran agama kita sedar bahawa apa-apa yang kita ada dalam bentuk harta tidak akan dibawa ke kubur apabila kita dipanggil oleh Ilahi; cuma yang dibawa ialah amalan kita ketika hidup.
“Rekod saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selama 38 tahun sejak tahun 1981, dan ahli pentadbiran negeri dan kabinet selama 34 tahun sejak 1984 adalah sebagai saksi kepada integriti yang ada pada saya dan keluarga. Saya tidak takut kepada sesesiapa kecuali Tuhan,” tegasnya
Ketua Menteri berkata Adun Pending Violet Yong berniat mencemarkan nama baik beliau dan keluarga untuk meraih kepentingan politik dengan cuba mencetuskan persepsi negatif terhadap anak lelaki dan perempuan beliau yang tidak berada dalam Dewan Undangan Negeri untuk mempertahankan diri mereka.
“Yang Berhormat Pending berniat jahat dan menyakitkan hati apabila menyatakan persepsi negatif terhadap Abdilah (anak lelaki) yang tidak berada di sini untuk mempertahankan diri,” kata Abang Johari ketika menyampaikan ucapan penggulungan di DUN hari ini.
“Sebagai bapa yang bertanggungjawab saya telah memberi pendidikan kepada anak-anak saya dan membiarkan mereka meneruskan kerjaya profesional masing-masing,” katanya.
“Justeru, amatlah dikesali Yang Berhormat Pending telah mencemarkan nama baik saya dan keluarga demi kepentingan politiknya,” katanya.
Abang Johari berkata Abdillah mendapat pendidikan dalam bidang teknologi Alexander College di Perth, Western Australia dan Aviation Institute, Australia, Jandakot, Perth dan pemegang Australian Pilot Licence.
Jelasnya lagi, Abdillah memulakan Aido Digital Works di Cyberjaya sebagai pemaju dalam pelbagai permainan dalam talian dan animasi, juga menyediakan program latihan sambil belajar kepada pelajar Universiti MultiMedia.
“Minatnya terhadap teknologi Nintendo mendorongnya menubuhkan Aizo Digital,” katanya.
Menurut Abang Johari, pada Februari 2016, sebelum beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri dan Ketua Menteri, Abdillah menyertai Borneo Sea OffShore sebagai pengarah bebas syarikat itu atas permintaannya yang merupakan seorang peguam.
Abdillah tegasnya tidak memegang sebarang saham serta tiada kepentingan fidusiari dalam firma tersebut.
Jelasnya, anaknya itu bersara sebagai pengarah bebas syarikat berkenaan pada Jun 2018.
Norjehan menurut Abang Johari ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda e-Perdagangan (Kepujian) daripada Curtin University, Perth, Australia dan menamatkan pengajiannya 15 tahun lalu serta pernah bekerja untuk Sarawak Energy dan kini bekerja dengan firma swasta dalam teknologi aplikasi. – SarawakVoice