MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekalahan 0-1 di tangan Filipina dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial, malam tadi sebagai memalukan.
Pengendali berusia 49 tahun itu, berkata barisan pemain Filipina menunjukkan mereka lebih dahagakan kemenangan berbanding anak buahnya.
“Sudah pasti ia bukan keputusan yang baik, kami melepaskan gol menerusi situasi bola mati sekali lagi. Ia menunjukkan Filipina lebih dahagakan kemenangan berbanding apa yang kami lakukan hari ini.
“Kami patut malu dengan keputusan ini,” kata Kim Swee ketika sidang media selepas tamat perlawanan.
Kekalahan menyaksikan skuad negara tidak mempunyai pilihan selain menang dalam baki dua perlawanan terakhir kumpulan menentang Timor Leste dan Kemboja selepas sekadar seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan.
Kim Swee menegaskan skuad bimbingannya masih berada di landasan bagi bersaing memburu tempat ke peringkat separuh akhir.
Hanya juara dan naib juara layak ke kelompok empat terbaik.
“Secara matematiknya, kami masih lagi ada peluang untuk ke pusingan seterusnya. Pemain perlu bangkit bagi membuktikan watak sebenar mereka,” kata Kim Swee.
Dalam perlawanan itu, gol kemenangan tuan rumah dijaringkan kapten, Stephan Schrock pada minit ke-72. – Berita Harian Online