Kim Swee anggap kekalahan memalukan 0 43

MANILA: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekalahan 0-1 di tangan Filipina dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Rizal Memorial, malam tadi sebagai memalukan.

Pengendali berusia 49 tahun itu, berkata barisan pemain Filipina menunjukkan mereka lebih dahagakan kemenangan berbanding anak buahnya.

“Sudah pasti ia bukan keputusan yang baik, kami melepaskan gol menerusi situasi bola mati sekali lagi. Ia menunjukkan Filipina lebih dahagakan kemenangan berbanding apa yang kami lakukan hari ini.

“Kami patut malu dengan keputusan ini,” kata Kim Swee ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Kekalahan menyaksikan skuad negara tidak mempunyai pilihan selain menang dalam baki dua perlawanan terakhir kumpulan menentang Timor Leste dan Kemboja selepas sekadar seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan.

Kim Swee menegaskan skuad bimbingannya masih berada di landasan bagi bersaing memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

Hanya juara dan naib juara layak ke kelompok empat terbaik.

“Secara matematiknya, kami masih lagi ada peluang untuk ke pusingan seterusnya. Pemain perlu bangkit bagi membuktikan watak sebenar mereka,” kata Kim Swee.

Dalam perlawanan itu, gol kemenangan tuan rumah dijaringkan kapten, Stephan Schrock pada minit ke-72. – Berita Harian Online

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Mourinho tampil lebih ceria, rendah diri 0 81

LONDON: Jose Mourinho sentiasa tampil dengan perwatakan berbeza sepanjang karier pengurusannya yang dipenuhi kejayaan bersama kelab-kelab gergasi Eropah dan sentiasa menjadi perhatian media, tetapi pengendali baharu Tottenham Hotspur itu kali ini lebih merendah diri.

Ketika sidang media pertamanya di kelab utara London itu selepas menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat Selasa lalu, Mourinho sentiasa tersenyum.

“Saya di dalam tempoh di mana ia bukan berkenaan diri saya sama sekali, ia berkenaan kelab, peminat, pemain-pemain – bukan tentang saya. Saya di sini untuk membantu semua orang,” kata Mourinho yang bercadang untuk tidak membuat rombakan ke atas skuad sedia ada.

“Saya harap saya dapat mempengaruhi pemain-pemain untuk tidak merasa gembira apabila tidak memenangi perlawanan bola sepak. Jika anda gembira apabila tewas perlawanan bola sepak, sukar untuk jadi pemenang sepanjang karier anda.

Bekas pengendali Inter Milan, Real Madrid, Chelsea dan Manchester United itu kini mempunyai tugas berat untuk melonjak kembali Spurs yang berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan bulan lalu dimalukan Bayern Munich 7-2 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Tottenham hanya mempunyai 17 gelaran major dan kali terakhir menjuarai liga ialah pada tahun 1961 dengan kejuaraan berganda. Trofi terakhir diraih ialah Piala Liga 2008. – REUTERS

Spread the news

Sepanyol menang bergaya 0 73

MADRID: Sepanyol melengkapkan kempen kelayakan Euro 2020 dengan kemenangan 5-0 ke atas Romania di gelanggang sendiri, awal pagi tadi di sebalik spekulasi membabitkan masa depan ketua jurulatihnya, Robert Moreno.

Media di Itali sebelum ini melaporkan bekas pengendali, Luis Enrique dijangka akan memegang semula jawatan yang sebelum ini ditinggalkan atas urusan peribadi.

Ia sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Moreno dengan beberapa laporan media menyatakan dia tidak akan mengemudi pasukannya bagi mengharungi kejohanan itu tahun depan.

Enrique melepaskan jawatannya pada Jun lalu selepas anak perempuannya, Xana menghidapi kanser dan meninggal dunia pada September.

Moreno, yang juga pembantu jurulatih Enrique tidak menghadiri sesi sidang media selepas perlawanan manakala pemain tidak dapat mengesahkan sama ada dia akan meneruskan tugasnya atau tidak.

“Pada akhirnya tiada apa yang kami boleh lakukan, kami hanya perlu fokus kepada latihan dan melakukan yang sebaik mungkin. Kami menyokong jurulatih dan stafnya,” kata penyerang, Gerard Moreno.

Pemain tengah Saul Niguez berkata: “Kami tidak mengetahui apa-apa, saya tidak boleh membuat spekulasi. Kerja Robert sudah dibuktikan di atas padang dan kami semua gembira dengannya.”

Dalam perlawanan itu, Fabian Ruiz membuka tirai jaringan buat Sepanyol pada minit kelapan sebelum Moreno menyumbat dua gol diikuti jaringan sendiri pemain Romania, Adrian Rus sebelum rehat.

Gol kelima tuan rumah dijaringkan Mikel Oyarzabal pada masa kecederaan babak kedua.

Sementara itu, jurulatih Romania, Cosmin Contra mengesahkan dia tidak akan meneruskan tugasnya selepas kontraknya berakhir pada Disember ini. – Reuters

Spread the news
DON’T MISS OUT!
Subscribe To Newsletter
Be the first to get latest updates and exclusive content straight to your email inbox.
Stay Updated
Give it a try, you can unsubscribe anytime.
close-link