SARIKEI: Misteri kehilangan seorang warga emas ketika memancing di tebing Sungai Rusa di sini sejak petang Selasa lalu, terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan menyayat hati pagi tadi dengan kaki kanannya putus, dipercayai dibaham buaya.
Mayat mangsa, Leong Kheng Onn, 72, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di anak sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari pos kawalan bomba pada jam 11.40 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat anaknya pada jam 7 pagi, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, mangsa dikatakan menaiki motosikal keluar dari rumahnya pada jam 5 petang Selasa lalu untuk memancing di tebing Sungai Rusa, di sini.
“Kehilangan mangsa disedari keluarganya apabila dia tidak balik ke rumah sehingga jam 9 malam dan mereka mencarinya sebelum menemui motosikal mangsa berdekatan sungai.
“Selain motosikal, keluarganya hanya menemui peralatan memancing serta selipar mangsa berdekatan motosikal itu,” katanya.
Menyedari sesuatu yang buruk berlaku, keluarganya membuat laporan polis sebelum bomba dimaklumkan mengenai kehilangan lelaki itu, pagi semalam.
“Sejurus menerima maklumat itu gerakan mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei.
“Operasi itu turut dibantu enam anggota Pasukan Polis Marin, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dua kakitangan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta 11 penduduk kampung,” katanya.
Katanya lagi, sebaik ditemui pagi tadi, mayat mangsa dibawa ke pos kawalan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Berita Harian