KUCHING: Selepas enam Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) didakwa mahu meninggalkan pakatan itu, kini tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka dikhabarkan sudah bersedia untuk ‘angkat kaki’.
Daripada jumlah keseluruhan itu, tujuh adalah wakil rakyat didakwa dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), manakala dua lagi dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Jurucakap Parti Pribumi Sarawak (PRIBUMI) mendakwa tindakan sembilan wakil rakyat terbabit disebabkan hilangnya keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi GPS, khususnya PBB yang menguasai pentadbiran kerajaan negeri.
“Lebih 50 tahun mentadbir Sarawak, PBB didapati gagal dan semakin lemah. Jadi, enam Ahli Parlimen dan tiga ADUN sudah bersedia untuk ‘berhijrah’ dan menyertai PRIBUMI sebagai wadah baharu perjuangan mereka.
“Satu hari yang sesuai akan tiba bagi mengumumkan penyertaan mereka ke dalam PRIBUMI,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Bagaimanapun, jurucakap berkenaan enggan mendedahkan nama kesemua sembilan wakil rakyat berkenaan kerana menyifatkan masanya belum tiba untuk parti itu berbuat demikian.
Ditanya sama ada PRIBUMI sudah berdaftar sebagai siasah politik yang sah, jurucakap itu memaklumkan entiti berkenaan sudah didaftarkan dan akan mengadakan sidang media mengenainya dalam tempoh terdekat.
“Jawatan Pengerusi, Presiden dan kesemua kepemimpinan tertinggi kita adalah anak pribumi Sarawak.
“Kini, sembilan bahagian sudah digerakkan melalui penubuhan Jawatankuasa Bahagian parti mengikut Bahagian negeri,” katanya.
Beliau berkata, PRIBUMI akan bergabung bersama empat lagi parti tempatan, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Tindakan penggabungan adalah demi memastikan kesemua parti berkenaan berada dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ini sudah pasti menjadikan senario politik di Sarawak lebih berwarna-warni, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang dijangka diadakan dalam tempoh kurang tiga tahun dari sekarang,” katanya–BH Online