9 orang masih terperangkap dalam gua, tunggu misi disambung semula 0 3444

GLOBAL | Lapan kanak-kanak dan jurulatih mereka yang masih terperangkap dalam gua yang dipenuhi air di utara Thailand menunggu misi menyelamat bersambung hari ini, sehari selepas empat kanak-kanak pertama selamat dikeluarkan dan dibawa ke hospital.

Misi berani dan berbahaya untuk menyelamatkan pasukan bola sepak kanak-kanak itu – berusia antara 11 hingga 16 tahun – dihentikan ketua misi lewat Ahad untuk menambah bekalan oksigen dan membuat persiapan baru, yang menurutnya akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuluh jam.

Penyelam terpaksa memegang kanak-kanak itu rapat di badan untuk membawa mereka keluar dan masing-masing terpaksa memakai topeng oksigen agar boleh bernafas dengan normal, kata pihak berkuasa.

Hujan lebat menyebabkan kawasan Guan Tham Luang di Chiang Rai basah, meningkatkan lagi risiko kepada apa yang disebut sebagai “perang melawan air dan masa” untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Kisah pasukan Akademi Bola Sepak ‘Mu Pa’ (babi hutan), yang pada mulanya masuk ke dalam gua itu lebih dua minggu lalu sebelum hujan menyebabkan mereka terperangkap, menarik perhatian media Thailand dan antarabangsa.

Football’s Coming Home. First Wild Boars Out” (Bola sepak sudah pulang. Babi hutan pertama keluar), menjadi tajuk utama sebuah akhbar atas talian Thailand hari ini. Ia merujuk kepada lagu yang dinyanyikan penyokong pasukan England di kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung di Rusia.

Seminggu lalu, penyelam British menemui mereka yang sedang berkumpul di atas sebuah tebing berlumpur. Rakaman menunjukkan salah seorang daripada kanak-kanak itu memakai jersi pasukan England.

Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha, pemimpin junta tentera yang merampas kuasa pada 2014, merancang untuk melawat tapak gua hari ini.

Keluar dengan selamat

Sejumlah 13 penyelam luar negara dan lima anggota unit SEAL Tentera Laut Diraja Thailand membentuk pasukan utama dalam menyelamatkan kanak-kanak itu melalui laluan sempit dan ditenggelami air, yang telah pun meragut nyawa seorang penyelam bekas tentera laut Thailand Jumaat lalu.

Sebahagian kanak-kanak itu bukan perenang yang kuat dan tiada yang memiliki pengalaman menyelam.

Ketua misi menyelamat Narongsak Osottakanakorn semalam mengumumkan empat kanak-kanak dibawa keluar dengan selamat. Setakat hari ini, tiada butiran rasmi berhubung identiti dan keadaan kesihatan mereka.

Semalam, Narongsak berkata misi itu mungkin mengambil tiga atau empat hari.

Media Thailand mengenalpasti identiti kanak-kanak pertama, iaitu Mongkol Boonpiem, 13 tahun.

Sumber dalaman Hospital Prachanukroh Chiang Rai, di mana kanak-kanak itu dirawat, berkata keadaan mereka “tidak teruk” tetapi doktor sedang melihat beberapa tanda seperti hypothermia.

Video rasmi yang dikeluarkan oleh operasi menyelamat lewat Ahad menunjukkan empat ambulans menuju ke arah jalan berlumpur ke arah kompleks gua.

Ia juga menunjukkan kira-kira enam askar sedang membawa tandu menuju ambulans yang sedang menunggu. Tandu itu kemudian dimasukkan ke bahagian belakang ambulans sementara pegawai perubatan bergegas ke pintu sisi.

Narongsak dilihat bersalam dengan pemimpin senior tentera dan meneliti dan melihat pintu masuk khemah perubatan yang panjang di sebelah kira-kira 15 askar.

Video itu juga menunjukkan seorang penyelam kulit putih berjalan menaiki cerun berlumpur sambil membawa topeng muka dan tangki oksigen yang kecil, dan menggalas beg.

Penyelam itu dilihat menerima tepukan mereka yang berada di sekitarnya.

Reuters

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15222

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8395

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news