MOSCOW – Pasukan Jepun mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Senegal 2-2 dalam aksi Kumpulan H di Ekatarinburg Arena sebentar tadi.
Keputusan tersebut membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi kedudukan teratas peringkat kumpulan selepas mengumpul empat mata daripada dua perlawanan setakat ini.
Pada perlawanan tersebut, Senegal yang masih segar dengan kejayaan menewaskan wakil Eropah, Poland awal minggu ini membuktikan keupayaan dengan mendominasi sebahagian besar perlawanan.
Rentetan serangan yang dilakukan berjaya memberi tekanan kepada benteng Samurai Biru sehingga mengakibatkan penjaga gol, Eiji Kawashima melakulan kesilapan dengan menumbuk bola ke arah Sadio Mane untuk jaringan pertama pada minit ke-11.
Tersentak dengan itu, Jepun memperkemaskan serangan dan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-34 menerusi Takashi Inui dan keputusan 1-1 kekal pada separuh masa pertama.
Bersambung pada babak kedua, Senegal sekali lagi memberi tekanan awal dengan mempamerkan corak permainan berkualiti dan berjaya mendahului menerusi Moussa Wague yang menyudahkan hantaran M’Baye Niang pada minit ke-71.
Pemain senior Jepun, Keisuke Honda muncul wira Jepun dengan gol penyamaan dan kedua peribadinya pada kempen Piala Dunia kali ini selepas merembat masuk gol hasil hantaran Inui berselang tujuh minit kemudian.
Kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol kemenangan tetapi keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan. – Agensi