Belgium berpeluh sebelum tumbangkan Panama 3-0 0 5618

KUALA LUMPUR – Pasukan No. 3 dunia, Belgium dipaksa berhempas pulas sebelum meledakkan tiga gol pada babak kedua untuk mencatat kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2018 FIFA dengan menjinakkan pendatang baharu, Panama 3-0 dalam aksi Kumpulan G di Stadium Fisht, Sochi, Rusia malam ini.

Voli cantik pemain sayap Napoli, Dries Mertens pada minit ke-47 dan dua gol penyerang Manchester United, Romelu Lukaku (69 dan 75) sudah cukup untuk memberi kelegaan buat Belgium setelah bergelut sepanjang babak pertama menentang pasukan No. 55 dunia itu yang membuat penampilan sulung dalam kempen Piala Dunia edisi ini.

Biarpun dilabel sebagai pasukan belasahan, Panama bagaimanapun nyata tidak gugup turun berdepan Belgium yang dibarisi pemain bintang seperti Eden Hazard, Lukaku, Kevin de Bruyne dan Yannick Carasco, sebaliknya mereka berjaya mencemaskan pasukan Belgium dengan beberapa gerakan berbahaya.

Bagi Belgium pula yang pernah menduduki ranking No.1 dunia pada 2015, pastinya mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti pasukan Brazil, Argentina dan Jerman yang berdepan kesukaran dalam mencari kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Namun serangan demi serangan yang dilancarkan anak buah Roberto Martinez itu menemui jalan buntu dan setiap percubaan mereka pula sama ada gagal menepati sasaran atau berjaya dihalang penjaga gol Panama.

Sebaliknya, Panama yang mendapat sokongan padu penonton di Sochi, berjaya mencemaskan pasukan Belgium dengan serangan balas yang pantas, cuma kekurangan pengalaman di pentas tertinggi bola sepak dunia ini menyaksikan mereka kehilangan idea serta penyudah yang tumpul.

Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan perubahan momentum dalam pasukan Belgium yang beraksi lebih tenang dan lancar mengatur serangan.

Hasilnya, tendangan voli Mertens memberi kelegaan buat Belgium, sekali gus menyuntik keyakinan rakan sepasukannya mencipta dua peluang gol buat Lukaku, sekali gus membunuh semangat juang pemain Panama.

Keputusan ini menyaksikan Belgium menghuni tangga teratas Kumpulan G dan akan berdepan Tunisia, Sabtu depan. – K! ONLINE

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15415

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8420

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news