BINTULU – Sejumlah 11 notis amaran telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bintulu kepada peniaga yang gagal mematuhi sifar peratus (0%) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditetapkan berkuat kuasa 1 Jun lalu oleh kerajaan.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Bintulu Salihin Den berkata, para peniaga diberi tempoh tiga hari untuk mematuhi penetapan kerajaan dan sekiranya gagal berbuat demikian tindakan tegas akan diambil.
βPada 4 Jun, pegawai penguat kuasa kami telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,100 barang di 50 premis perniagaan di bawah Ops Catut 4.0,β ujarnya semasa dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan sebagai maklum balas terhadap aduan pengguna yang diterima di laman sosial Facebook KPDNKK dengan para pegawai bergerak membuat pemeriksaan ke atas pasar raya, kedai runcit, premis restoran makanan segera, kedai peralatan, farmasi dan kedai serbaneka.
βSusulan daripada aduan, kami telah menggerakkan pasukan penguat kuasa ke premis yang dinyatakan untuk membuat pemeriksaan,β katanya sambil menambah, 11 premis didapati masih menjual barang dengan mengenakan caj enam peratus GST.
Beliau menambah, kegagalan mematuhi penetapan peraturan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana mengambil keuntungan tidak munasabah.
Justeru beliau menggesa pengguna yang menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab itu untuk memberi maklumat penuh kepada kementerian mengenai nama premis, jenis barang khasnya resit pembelian dari premis perniagaan terbabit bagi memudahkan penyiasatan.
Dalam pada itu, antara premis perniagaan yang diperiksa pegawai penguat kuasa KPDNKK di sini ialah kawasan bandar Bintulu, Kidurong, Tanjung Batu dan Medan Raya Pusat Komersial Assyakirin.
Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dibuat, semua premis yang diperiksa telah membuat perubahan kepada kadar 0% GST, tetapi ada beberapa premis masih tidak patuh pelaksanaan peraturan itu.
Sebanyak 30 barangan dipilih secara rawak yang dikutip harga sebelum 1 Jun yang dikenakan 6% GST telah dibuat perbandingan harga dan didapati semua barangan yang dipilih telah membuat perubahan dengan melakukan penurunan harga.
Mengenai perkara berkaitan, pengguna dinasihati mengemukakan sebarang aduan melalui e-aduan.kpdnkk.gov.my atau hubungi talian 086-332176/ 086-339031 (Pejabat KPDNKK Bintulu) atau Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Bintulu.
Selain pemeriksaan pematuhan sifar peratus GST ke atas peniaga, pegawai penguat kuasa KPDNKK Bintulu turut melakukan pemeriksaan harga di bazar Ramadan sekitar Bintulu di sini sejak beberapa hari lepas. -Utusan Borneo Online