PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia’ bermula 2 hingga 16 Julai ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata keputusan tawaran bidaan melibatkan nombor siri Malaysia 1 hingga Malaysia 9999 itu akan diumumkan pada 23 Ogos depan.
Katanya, bidaan itu terbuka kepada mana-mana individu termasuk menteri kecuali Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan ditawarkan nombor pendaftaran khas ‘Malaysia 2020’.
“Niat kita untuk tambah hasil kerajaan jadi semua nombor tidak dikhaskan untuk sesiapa (termasuk menteri), boleh dibida oleh sesiapa pun. Tiada bidaan minimum,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Menurutnya kerajaan menjangkakan hasil lebih RM22 juta daripada tawaran bidaan tersebut berdasarkan hasil penjualan nombor pendaftaraan siri ‘V’ dan ‘F’ sebelum ini.
Loke berkata, nombor pendaftarkan siri V dan F masing-masing merekodkan hasil jualan sebanyak RM22.48 juta dan RM17.55 juta dengan bidaan tertinggi dicatatkan bagi kedua-dua siri itu adalah RM989,780 bagi nombor V1 dan RM836,660 bagi nombor F1.
“Hasil jualan nombor ini (Malaysia) akan disalurkan kepada kerajaan kerana dalam bidang pengangkutan ini jika JPJ dapat hasil tinggi, kementerian boleh minta lebih banyak dana untuk pengangkutan awam.
“Jadi saya ingin meyakinkan kabinet bahawa JPJ juga boleh menambah hasil kerajaan,” katanya.
Berbeza dengan amalan sebelum ini yang hanya membolehkan bidaan dibuat di JPJ Kuala Lumpur, Loke berkata kali ini bidaan boleh dihantar kepada semua pejabat JPJ negeri untuk kemudahan orang ramai.
Menurut Loke, selaras dengan keputusan mesyuarat kabinet pada Rabu lepas, kementerian juga akan memperkenalkan siri nombor pendaftaran kenderaan bagi setiap negeri bermula dari ‘Perlis’ sehingga ke ‘Sabah’ tidak lama lagi.
Selain itu, Loke berkata, kementerian juga sedang mengkaji cadangan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan peribadi bagi menambah hasil kerajaan seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara lain.
“Sesiapa hendak letak nama sendiri pun boleh seperti Anthony, John, Ali atau Mahathir ataupun Najib.
Sesiapa yang hendak, boleh buat ‘personalised’ number ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan menghentikan amalan membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan memandangkan hasil yang dikutip tidak disalurkan kepada kerajaan.
“Nombor pendaftaran paling tinggi yang pernah direkodkan adalah ‘Patriot 1’ yang dijual dengan harga RM1.3 juta, bagaimanapun sayangnya ia ditawarkan oleh sebuah NGO dan hasil jualan tidak masuk kepada dana kerajaan,” katanya.
Beliau berkata bagi nombor pendaftaran yang telah diluluskan kepada NGO dan masih dibuka untuk bidaan ketika ini, ia tidak boleh dibatalkan sebaliknya tarikh penjualan tidak akan disambung selepas tamat tempoh setahun yang diberikan kepada mereka. — Bernama