BINTANGOR: Mayat kedua mangsa tragedi bot karam di Nanga Ensiring Entabai dekat Julau semalam berjaya ditemui hari ini.
Mayat kanak-kanak, Kevin Sama Markus, 6 tahun ditemui sekitar jam 7 pagi di Sungai Sepencur oleh penduduk rumah panjang yang melalui kawasan tersebut.
Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Nanga Entabai di sini sekitar 8.55 pagi.
Operasi mengesan seorang lagi mangsa iaitu ibu kanak-kanak terbabit, diteruskan hari ini yang telah memasuki hari kedua.
Komander Operasi, Nicholas Belulin berkata, pihaknya kini mengganda usaha mencari Ebeline Linty Kaya, 23 tahun yang masih hilang.
Dalam perkembangan sama katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Nanga Sayong Entabai Julau dan Nanga Ensiring Entabai Julau diteruskan secara bersepadu kerana ia merupakan laluan sungai yang sama.
“Ia dijalankan secara serentak bagi mencari mangsa kes bot karam pertama, Anjan Nyua, 66 tahun yang masih belum dijumpai,” katanya. –Sarawakvoice