KOTA KINABALU: Wang tunai sebanyak RM870,000 milik sebuah parti pembangkang tempatan di Sabah, dikatakan untuk pembayaran deposit calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), hilang dipercayai dilarikan penasihat kewangan parti terbabit.
Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu gagal hadir bersama wang berkenaan ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, pada petang Jumaat lalu, sehari sebelum proses penamaan calon.
Menurut sumber, wang itu adalah untuk proses pembayaran pendaftaran bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen parti berkenaan yang akan bertanding pada PRU-14 di seluruh Sabah.
Katanya, wang berjumlah RM870,000 itu diserahkan kepada suspek ketika perjumpaan bersama calon parti pada jam 10.30 pagi, Jumaat lalu.
Sumber berkata, pihak SPR telah memberi kelonggaran kepada parti itu untuk membuat pembayaran sebelum jam 12 tengah malam namun suspek gagal ditemui atau dihubungi.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, pengadu yang juga Ahli Majlis Tertinggi bersama presiden parti itu serta calon pergi ke rumah suspek di Kota Belud dan dia dikatakan berjanji untuk memberikan wang itu semula pada petang sama.
Bagaimanapun, sehingga laporan polis dibuat, suspek gagal menyerahkan wang pembayaran itu.
Akibat tindakan suspek, hanya dua calon didaftarkan dengan menggunakan wang sendiri iaitu DUN Balung dan Merotai manakala calon selebihnya membabitkan 26 Parlimen termasuk Labuan dan 58 calon DUN gagal didaftarkan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
“Siasatan masih dijalankan dan suspek sedang dikesan. Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah,” katanya. – Berita Harian Online