KUALA LUMPUR: Bekas ratu cantik, selebriti, peguam, bekas ketua pengarang berita, bekas duta dan bekas peniaga jagung merupakan antara calon yang mewarnai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan penamaan calon yang berlangsung semalam.
Mereka antara lebih 2,000 calon pelbagai parti politik dan Bebas yang dipilih untuk cuba mewakili masyarakat di 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara selain kelibat calon yang sudah biasa dalam arena pertandingan politik.
Antara yang mencuri tumpuan ialah selebriti Azwan Ali yang akan bertanding di DUN Bukit Antarabangsa menentang abang kandungya sendiri yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Turut menarik perhatian bekas Ratu Cantik Unduk Ngadau 2007, Jo-Anna Sue Henley Rampas, 29, mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) yang berdepan bekas wartawan kanan akhbar New Straits Times (NST) Datuk Joniston Bangkuai daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) di DUN Kiulu, Sabah.
Selain itu, βRaja Bomohβ atau nama sebenarnya Datuk Ibrahim Mat Zin, yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding di kawasan Parlimen Bagan Datuk, tidak hadir di pusat penamaan dan telah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi.
Perkembangan lain yang mendapat perhatian ramai ialah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menyerahkan kertas pencalonan untuk bertanding di atas tiket PKR di DUN Kota Lama, Kelantan.
PRU14 turut diwarnai dengan kehadiran semula bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam untuk Parlimen Hang Tuah Jaya manakala bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Tan Sri Zulhasnan Rafique membuat kemunculan semula dengan pencalonan di Parlimen Setiawangsa.
Jangan dilupakan kepada Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, 81, yang akan bertanding di kubu tradisinya di Parlimen Gua Musang yang disandang sejak 1974 β tempoh paling lama seseorang menjadi wakil rakyat di Malaysia.
Pastinya PRU14 ini juga memperlihat calon paling tua bertanding iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 92, di Parlimen Langkawi, beza 70 tahun dengan calon paling muda iaitu P. Prabakaran, 22, yang merupakan calon Bebas di Parlimen Batu.
Barisan calon PRU14 turut dimeriahkan dengan kehadiran peniaga jagung yang kemudiannya menjadi pemaju, Badrul Hisam Md Zin, 46, yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Sungai Tua, Selangor kerana azamnya mahu membantu golongan muda mencapai kejayaan.
Jo-Anna Sue ratu cantik bertanding / kredit foto : Lano Lan
PRU14 juga tidak lengkap tanpa calon kategori peguam iaitu Mohd Khairul Azam, calon Bebas di Parlimen Pandan, yang merupakan peguam mewakili pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik.
Bekas ketua pengarang berita sebuah stesen televisyen tempatan, Mohd Khaidir Ahmad mencuba nasib atas tiket Bebas di DUN Lanchang, Pahang manakala bekas jurugambar Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 32, yang juga Exco Pemuda PPBM merupakan calon Parlimen Paya Besar di Pahang.
Figura tidak asing di arena politik tanah air akan turun mempertahan kerusi Parlimen masing-masing, termasuk Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di kawasan Parlimen Pekan manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi Parlimen Bagan Datuk.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mempertahan kerusi Parlimen Bentong, Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam di Parlimen Segamat dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong di Parlimen Teluk Intan.
Bekas Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kedua-duanya tidak hadir di pusat penamaan, sekali gus menepis ramalan kononnya mereka akan menjadi calon Bebas,
Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam, 8 Mei.
Hari pengundian bagi PRU14 ditetapkan pada 9 Mei manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.β BERNAMA