MIRI: Hasrat seorang remaja lelaki pulang ke rumah selepas berjumpa kawan tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan di Jalan Persisir Pantai berhampiran simpang Sungai Rait di sini petang kelmarin.
Mangsa dikenali Mohd Amirul Hisyam Hanapih, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu dalam kenyataan dikeluarkan malam kelmarin mengesahkan kemalangan maut itu.
Menurutnya, sebelum kejadian sekitar jam 4 petang itu mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ke Bintulu.Manakala sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun turut melalui laluan sama dari arah Miri menghala ke Bintulu.
“Siasatan awal polis mendapati semasa tiba di tempat kejadian, pemandu lori memintas motosikal mangsa yang berada di bahu kiri jalan dan tiba-tiba motosikal mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan lori sebelum terjatuh.“Pemandu lori berasa se-perti dilanggar sesuatu lalu memberhentikan kenderaannya dan ternampak seorang lelaki terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Difahamkan sebelum kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu selepas berjumpa dengan kawannya.Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.-Utusan Borneo Online