KUCHING: Untuk sekian lama masyarakat Dayak ingin menyaksikan penampilan calon wanita, akhirnya Parti Rakyat Sarawak (PRS) memenuhi impian itu semalam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan Rita Insol sebagai calon Parlimen Selangau pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Rita dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebooknya menyatakan pemilihan beliau merupakan satu penghargaan bukan hanya untuk dirinya tetapi juga wanita Dayak di Sarawak.
Rita yang berasal dari Bintulu dan disifatkan sebagai calon payung terjun diuar-uarkan sebagai calon kawasan penuh kontroversi.
Sebelum ini PRS telah mengumumkan beliau sebagai calon, namjun penyandang Datuk Joseph Entulu Belaun tetap aktif berkempen di akar umbi atas keyakinan beliau tetap akan tersenarai.
P214 Selangau … Rita Sarimah Insol (BN-PRS)
Susulan itu, Presidan PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing telah mengambil keputusan drastik dengan memecat beliau dalam tindakan yang disifatkan penganalisis politik sebagai serangan preemptif, mendahulu pengumuman Pengerusi BN Negeri, pagi semalam.
Rita, 57, berkata: “Hari ini kita berasa bangga bahawa Parti rakyat Sarawak (PRS) telah mencipta sejarah dengan mencalonkan wanita Dayak pertama untuk bertanding dalam pilihan raya umum.”
Beliau merakamkan penghargaan kepada Masing, selain Datuk Seri Doris Sophia Brodie yang memperjuangkan agar wanita diberi peluang bertanding dalam PRU kali ini.
Doris juga mengucapkan terima kaish kepada suaminya Timothy Gima Uji dan anaknya Gavin Man kerana sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Rita mengakui apa yang ada di hadapan tidak mudah.
“Kita akan berdepan perjuangan untuk memenangi hati rakyat,” katanya.
Rita merupakan seorang daripada enam calon wanita yang ditampilkan BN dalam PRU-14.
Rita dijangka ditentang keras oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jika Joseph Entulu bertanding sebagai calon Bebas, penganalisias politik berkata, kedudukan calon PRS itu pasti tergugat. –Sarawakvoice