KUCHING: Di sebalik segala teka-teki dan spekulasi bahawa beliau bakal digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagai tidak kisah dengan semua itu.
Seperti biasa, beliau tetap meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
Wan Junaidi terkenal sebagai wakil rakyat yang gigih, rajin dan sentiasa turun padang.
Pemimpin yang lantang dan tegas ini berbuat demikian kerana percaya bahawa kepentingan rakyat harus sentiasa diutamakan.
“Saya bukan ahli politik bermusim,” katanya sambil menegaskan kepentingan dan kebajikan rakyat perlu sentiasa diberi perhatian sepanjang masa.
Foto : Page Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar BN Sarawak
“Segala perkara berkaitan rakyat hendaklah diberi perhatian berterusan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan mesra di Kampung Selipar Putus dan Flat Tabuan Park di sini, semalam.
Ketika ditemui Sarawak Voice dua minggu lalu, beliau menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan parti, dan telah bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mac lalu.
“Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menilai prestasi saya,” kata lulusan undang-undang itu.
Beliau mengakui bahawa jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU-14 pada 9 Mei ini.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Wan Junaidi semakin ligat turun ke padang, dan sentiasa menekankan beliau masih sihat dan mampu untuk terus mewakili Parlimen Santubong. –Sarawakvoice