KUCHING: Seorang lelaki terpaksa bertarung dengan maut selepas terjatuh dari bumbung, setelah meragut seorang wanita di Jalan Wan Alwi, Bayang Estate, Simpang Tiga dekat sini.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, insiden berlaku sekitar jam 10.48 malam tadi dengan mangsa adalah seorang wanita Iban berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu makmal.
“Mangsa yang berasal dari Miri, sedang membuka jeriji pintu rumah sewanya, apabila secara tiba-tiba ditekup mulut oleh suspek dari arah belakang.
“Mangsa cuba melawan namun suspek berjaya menumbuk mukanya beberapa kali hingga dia (mangsa) terjatuh.
Suspek katanya, kemudian menarik beg tangan mangsa yang masih disandangnya, lalu mengheret mangsa hingga ke pintu pagar rumah.
Suspek akhirnya, berjaya meragut beg tangan tersebut sebelum melarikan diri.
Suspek kata Dev, kemudian menjerit meminta tolong orang awam sebelum suspek melarikan diri dengan memanjat belakang sebuah rumah lain di Bayang Estate.
“Ketika dalam usaha melarikan diri, suspek terjatuh dari atas bumbung ke dalam bilik jemuran pakaian lalu tidak sedarkan diri.
“Suspek yang cedera di leher kemudian diperiksa pasukan paramedik sebelum dikejar menaiki ambulans ke Hospital Umum Sarawak.
Siasatan awal kata Dev, mendapati suspek tidak memilik sebarang dokumen pengenalan diri.
“Namun, dia dipercayai rakyat tempatan kerana mempunyai kesan suntikan BCG pada bahu kiri.
“Kita juga menemui kembali beg tangan dan telefon bimbit milik mangsa selain
pisau pemotong sayur yang dijadikan senjata.
Mangsa pula katanya, hanya calar pada bahagian muka, pergelangan kedua-dua tangan dan kaki kanan. –Sarawakvoice