BATU PAHAT: Sempena ulang tahun yang ke-72 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun 70 peratus bagi semua saman dan kompaun yang dikeluarkannya selama sebulan bermula awal April dan berakhir 2 Mei depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi sebagaimana dilaporkan Berita Harian berkata, diskaun saman setinggi 70 peratus itu mencatat sejarah kerana sebelum ini JPJ tidak pernah menawarkan diskaun setinggi itu.
Sebelum ini JPJ pernah menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sahaja.
Menurut beliau, bayaran saman dan kompaun boleh dilakukan di semua kaunter JPJ di seluruh negara.
Bagaimanapun, tawaran diskaun 70 peratus mengecualikan lima kesalahan berikut; kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing. –Sarawakvoice