KOTA SAMARAHAN: Seorang pemuda disahkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tergantung pada siling rumah di Kampung Pinang, di sini semalam.
Mangsa iaitu Hanizam Halik berusia 23 tahun sebelum kejadian dikatakan sempat meminta diurut oleh bapanya sebelum naik ke tingkat atas rumah mereka dan dipercayai mengantung dirinya dalam kejadian sekitar jam 6 petang semalam.
Ahli keluarga yang menyedari insiden tersebut dikatakan cuba menyelamat mangsa dengan segera menurunkannya dari tali tersebut.
“Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia selepas itu oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” kata sumber.
Ketua Polis Daerah DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” kata Lee. -Utusan Borneo Online