KUCHING: Bagi mewujudkan bandar raya Kuching yang sejahtera dan selamat, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini bertindak proaktif dengan mengenal pasti kawasan-kawasan ‘black spot’ dan mengusahakan aktiviti pembersihan agar ia tidak terus dijadikan sarang maksiat.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Haji Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai berkata, antara kawasan ‘black spot’ yang telah dikenal pasti termasuklah di
Kampung Kudei dan Jalan Nanas Barat.
Di Kampung Kudei, kawasan ‘black spot’ ini termasuklah Kampung Kudei Baru, SMK Sungai Maong, Taman Sunrise, Taman Joo Chuan, Pusat Penjaja Sungai Maong, Taman Bigawa, Stapok Height, SK Sg Maong Hilir dan SJK Chung Hua No.9.
Manakala di Jalan Nanas Barat, ia melibatkan Kampung Kudei Lama, SK Combined, Eastern Park dan Evergreen Garden.
“Usaha kita ini bagi memastikan Program Bandar Selamat berjaya dilaksanakan, terutamanya di kawasan pinggiran bandar,” katanya ketika bersama-sama media melakukan tinjauan Program Bandar Selamat ke kawasan ini baru-baru ini.
Tindakan ini jelasnya lagi, merupakan sebahagian 15 langkah yang dicadangkan untuk mengurangkan kadar jenayah di bandar raya ini.
“Selain itu, terdapat juga lima rumah terbiar yang telah dikenal pasti iaitu di Jalan Tengah, Jalan Pisang Barat, Jalan Jambu, Lorong Pisang Barat dan Jalan Pisang Barat.
Berdasarkan rekod, rumah-rumah ini ditinggalkan dan terbiar usang berikutan pemiliknya berhadapan masalah dengan institusi kewangan.
“Kita khuatir, rumah terbiar ini akan mengundang aktiviti yang tidak baik seperti menjadi sarang untuk penagih.
“Oleh itu, kita membawa penduduk setempat untuk melakukan aktiviti pembersihan agar dapat mengelakkan masalah sosial selain mengelakkan persekitaran ini dihuni oleh haiwan berbisa seperti ular,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice