MIRI: Seorang warga Britain maut setelah terjatuh di puncak Pinaccle di Taman Negara Mulu, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 9.07 malam tadi melalui emel daripada Pengurus Mulu World Heritage, Hein Gerstner.
“Berdasarkan maklumat tersebut, mangsa dikenali sebagai Nigel Bevan, 50 tahun, telah terjatuh di denai pendakian dan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.
“Susulan daripada kejadian operasi menurunkan mangsa kemudian digerakkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Taman Negara Mulu yang tiba di lokasi iaitu kilometer 2.1 sekitar jam 8.30 malam.
“ketika diturunkan mangsa masih boleh bercakap dan sedar.
Bagaimanapun katanya, sekitar jam 2.28 pagi, ketika usaha menurunkan mangsa dari puncak ke Kem 5 dilakukan, mangsa telah berada dalam keadaan tidak sedar diri.
“Pasukan SAR ini telah tiba ke Kem 5 pada jam 6.00 pagi tadi.
Kata Ling Hii, Unit Udara Bomba kemudian digerakkan ke lokasi, dengan tujuan menerbangkan mangsa ke Hospital Miri.
“Operasi bermula sekitar jam 7.30 pagi tadi, turut disertai seorang doktor dari hospital berkenaan,” katanya lagi. —