KUALA LUMPUR: Kompleks sukan komuniti akan dibina di Belaga dan Kapit di Sarawak tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata permohonan untuk pembinaan kedua-dua kompleks sukan itu telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Saya telahpun pohon kepada EPU supaya pembinaan ini dimasukkan dan dilaksanakan dalam Pelan Pelaksanaan keempat (R4) dalam Rancangan Malaysia ke-11 tahun depan,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (BN-Hulu Rajang) berhubung cadangan pembinaan stadium di negeri itu.
Khairy berkata beliau telah meminta Anggota Parlimen di kedua-dua kawasan terlibat membantu pihaknya mengenal pasti tapak seluas kira-kira 2.4 hektar untuk setiap kompleks sukan itu.– BERNAMA