Pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg bahawa kerajaan Negeri Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas mendapat respon yang positif daripada rakyat. Langkah tersebut sebahagian daripada penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan sebagaimana dibincangkan beberapa tahun lepas.
Sebelum ini, Perdana Menteri bersetuju usaha tersebut dibuat sebagai usaha untuk mengembalikan kepada Sarawak kuasa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sejak pemerintahan Adenan Satem isu ini merupakan isu dasar yang menjadi kempen penting Barisan Nasional. Dikatakan kuasa yang diperuntukkan dalam perjanjian tersebut terhakis, lebih-lebih lagi kesedaran rakyat Sarawak semakin meningkat tentang hak mereka.
Penubuhan Petros
Pembentukan Petros dijangka mampu mengeksploitasi sumber minyak dan gas asli sesuai dengan kuasa diperuntukkan Senarai Negeri bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Ini merupakan kejayaan hasil perundingan kerajaan dengan persekutuan dalam pelbagai peringkat sebelum ini.
Petros ialah syarikat minyak dan gas Sarawak dan bukannya syarikat kontraktor minyak. Syarikat ini ditubuhkan untuk pembangunan huluan dan hiliran minyak dan gas di Sarawak dan bakal diberikan hak melombong minyak dan gas asli.
Dengan kata lain, syarikat ini akan menjadi pemain penting dan mengetuai penyertaan negeri dalam sektor ini yang mempunyai kepentingan strategik untuk menjana pendapatan dan pembangunan sosio-ekonomi Sarawak. Penubuhan ini sesuai dengan langkah dan kuasa Sarawak seperti yang terkandung dalam undang-undang.
Hak Melombong Sudah Lama
Sejak tahun 1952 kerajaan kolonial Sarawak telah mengeluarkan sewaan melombong minyak, dalam bentuk cagaran. Sewaan ini diberikan kepada Sarawak Oilfields Limited dengan memberikan segala kebebasan, hak dan keistimewaan bagi meneroka dan melombong semua kawasan di bawah koloni Sarawak atau mana-mana “petroleum yang terletak di bawah atau di seluruh wilayah yang membentuk Koloni Sarawak termasuk tanah di bawah semua perairan wilayah”.
Dua tahun selepas itu, Queen in Council memperincikan lagi undang-undang hak dengan meluluskan Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan). Tujuannya adalah untuk meluaskan sempadan Sarawak. Ini termasuklah memasukkan kawasan dasar laut dan buminya yang terletak di bawah lautan dalam yang berkaitan dengan perairan wilayah Sarawak.
Dengan kata lain, sebelum Sarawak, Sabah, Singapura dan Semenanjung Malaysia membentuk Malaysia pada 16 September 1963, segala sumber dan hak petroleum di kawasan-kawasan pantai dan luar pantai dan di pelantar benua sudah pun dimiliki Sarawak. Malah, sudah ada kuasa undang-undang terhadap lesen atau geran meneroka, mencari gali dan melombong dalam sempadan Sarawak.
Selepas pembentukan Malaysia, Sarawak masih mempunyai hak tersebut . Hak tersebut ialah berdasarkan hak perlembagaan dalam konteks bagi pengeluaran lesen meneroka, sewaan melombong di bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang kini kini baru ‘dikembalikan kembali’.
Hak tersebut antara lain memberikan kuasa di bawah kuasa legislatif negeri, dan dengan kuatkuasa Perkara 80 pada kuasa eksekutif kerajaan Sarawak yang dapat dilihat melalui peruntukan ‘tanah, termasuk permit dan lesen untuk penerokaan bagi melombong, sewaan dan sijil melombong’.
Kerajaan negeri Sarawak berpendirian Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana undang-undang darurat yang diisytiharkan bila Perisytiharan Darurat 1969 berkuasa kuasa. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila Perisytiharan Darurat 1969 dibatalkan pada 2011.
Kerajaan Negeri juga mengakui akur terdapat Perkara 4 yang mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan undang-undang tertinggi persekutuan. Namun Sarawak masih ada kuasa dan hak dari segi perlembagaan Negeri untuk menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak termasuklah hak untuk melombong minyak dan gas di Sarawak.
Implikasi daripada undang-undang tersebut, Sarawak kini mendapatkan semula semua semua hak untuk meneroka, cari gali dan membangunkan industri minyak dan gas di Sarawak. Kuasa dan hak tersebut akan dikuatkuasakan pada bulan Julai tahun ini. Dengan kata lain, Sarawak akan mendapat autoriti pengawalan penuh berkaitan dengan semua aspek hiliran dan huluan industri minyak dan gas di Sarawak. Demikian ditegaskan oleh Ketua Menteri Sarawak ketika perasmian Petros.
Justeru, mana-mana syarikat termasuk Petronas perlu mendapatkan lesen penerokaan daripada kerajaan negeri sebelum melakukan operasi mereka di Sarawak. Lesen, permit, pajakan dan kelulusan ini di bawah Ordinan Perlombongan Sarawak atau Ordinan Pengedaran Gas.
Melalui lesen ini maka dapat dilakukan kawalan selia operasi dan aktiviti bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri termasuk dari segi penggunaan dan tanah. Sebelum ini, kebenaran hanya diberikan daripada kelulusan kerajaan persekutuan di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA). Selepas pengumuman ini, maka segala aktiviti perniagaan dan operasi Petronas atau mana-mana syarikat lain akan diselaraskan agar sesuai dengan keperluan dan kehendak kerajaan negeri.
Selaras dengan perkembangan ini, rang undang-undang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri untuk meminda Ordinan Perlombongan Minyak bagi menambah baik peruntukan dan memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan. Setakat ini, rang undang-undang ini sudah dibincangkan diperingkat kabinet dan disokong oleh semua.
Pandangan Pembangkang
Namun DAP cuba menolak pandangan bahawa dua undang-undang persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Laut Wilayah 2012 (TSA) itu batal dan tidak sah di Sarawak. Menurut DAP dua akta ini tidak dimansuh atau dipinda untuk kecualikan Sarawak.
Hal ini kerana di bawah sistem perundangan mana-mana undang-undang yang diluluskan di Malaysia dan digazetkan untuk dilaksanakan dikira boleh pakai sehinggalah undang-undang tersebut dimansuhkan. Ataupun, sekiranya Mahkamah Persekutuan sudah pun pengisytiharan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan, terbatal dan tidak sah.
DAP juga berpendirian, tidak ada sesiapa pihak boleh mengisytiharkan yang undang-undang yang diluluskan di Parlimen itu terbatal dan tidak sah. Kecualilah ia sudah diisytiharkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Dengan tafsiran ini, situasi ini masih sama dan kelayakan untuk Sarawak mendapat royalti minyak dan gas kekal 5% manakala penerokaan minyak dan gas yang masih dikawal oleh kerajaan persekutuan dan Petronas. Pada masa yang sama Ketua Menteri menyatakan perbincangan 20 peratus royalti ditangguhkan kerana harga minyak di pasaran dunia kini kurang memberangsangkan.
Maka, sudah tiba masanya kedua-dua pihak berbincang, berdialog dan membuat keputusan bersama-sama agar pandangan seumpama ini boleh menyebabkan kekeliruan rakyat. Ia juga boleh menepis retorik kedua-dua pihak. Yang penting apa-apa pun, segala pandangan dan tindakan yang baik boleh memberikan kemajuan kepada negeri Sarawak. -SarawakVoice
*Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.