KUCHING: Kuching dijangka akan menjadi tumpuan para pelancong dari seluruh dunia, apabila pakej produk pelancongannya siap dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan perancangan kerajaan, kawasan Tebingan Kuching, terutamanya di hadapan Astana Negeri dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun)i bakal menjadi ikon pelancongan di rantau ini.
“Kita akan bangunkannya sebagai lokasi pelancongan yang tercantik sambil diperkaya dengan warisan sejarah tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Capgome yang diadakan di Lebuh Pejalan Kaki India di sini.
Antara tarikan baharu itu, termasuklah air pancut dari dasar sungai di hadapan Kompleks Dun dan Tebingan Kuching.
Air pancut tersebut katanya, akan dipersembahkan dengan alunan muzik seperti yang terdapat di Dubai dan Marina Bay di Singapura.
“Di samping itu, sebuah restoran berkonsepkan Inggeris akan dibangunkan di hadapan Kubu Margherita untuk mengimbas kembali cara kehidupan orang Inggeris di negeri ini semasa era pemerintahan James Brooke.
“Pelanggan akan dihidangkan teh dan dilayani seperti seorang raja ketika berkunjung ke restoran tersebut.
“Ini sesuatu yang unik dan baharu untuk menarik minat pelancong asing datang ke Sarawak.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena festival tersebut seperti persembahan tarian singa dan naga, persembahan bunga api dan mercun, persembahan tarian tradisional Cina, Melayu dan India, persembahan Gendang Cina, upacara membaling limau dan jualan makanan dalam trak. — Sarawakvoice