DARO: Ratusan pemegang akaun dan kad ATM bank dari sekitar daerah Matu dan Daro beratur panjang bagi membuat semakan dan pengeluaran tunai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di Bank Pertanian Malaysia Berhad (Argo Bank) Cawangan Daro, dekat sini semalam.
Orang ramai mula beratur panjang sejak awal jam 8 pagi sementara menunggu bank dibuka antara jam 8.30 dan 9. 00 pagi bagi membuat semakan di kaunter dan mesin ATM bank berkenaan.
Argo Bank merupakan satu-satunya bank yang beroperasi di daerah Matu dan Daro yang memberi perkhidmatan kepada oarng ramai terutama penduduk dari sekitar Daerah Matu, Daro dan termasuk Pulau Bruit.
Seorang penduduk Alias Sahari, 38, berkata, dia datang awal ke bank berkenaan untuk mendapatkan nombor giliran bagi mengelakkan kesesakan orang ramai.
“Beberapa hari yang lalu saya sempat lalu di depan bank dan melihat orang ramai mula sibuk membuat semakan akaun bank masing-masing, jadi sejak awal pagi lagi saya sudah menunggu didepan bank untuk mengelak kesesakan.
“Kalau saya datang lambat sudah tentu urusan untuk membuat semakan akan mengambil masa yang lama berikutan orang ramai,” katanya berasal dari Pulau Bruit.
Seorang Peniaga Sambilan, Zakri Ibrahim, memberitahu orang ramai mula menyerbu kaunter dan mesin ATM bank berkenaan sejak pengumuman BR1M dikreditkan akaun penerima pada 26 Febuari lalu.
“Sejak tiga hari lalu, orang ramai mula menyerbu Argo Bank untuk membuat semakan BRIM dan pengeluaran tunai di kaunter dan ATM Bank berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan kesesakan di luar bangunan bank apabila orang ramai berbaris di depan mesin ATM selain menunggu nombor giliran di dalam bank berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai ditemui media supaya pihak berkenaan mencadangkan untuk membuka bank-bank yang lain untuk beroperasi di Daro.
“ Ini memandangkan penduduk semakin bertambah di Daerah Matu, Daro dan termasuk Pulau Bruit, diharap bank-bank yang lain dapat membuka cawangan di Daro untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai. –Sarawakvoice