KUALA LUMPUR: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah sekitar RM6.3 bilion kepada tujuh juta penerima di seluruh negara mula diagih esok, Isnin.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, majlis pelancaran BR1M dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan hari ini.
Sementara, penerima lain boleh mula menyemak akaun bank masing-masing pada Isnin.
Bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Pelancaran BAHTERA Edisi Timur 2018 di Dewan Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah,Kuantan pada Sabtu, Mohd Irwan memberitahu agihan BR1M diteruskan seperti sebelum ini.
Mereka yang layak, menerima bantuan secara tiga peringkat; misalya bagi penerima RM1,200, kali pertama mereka mendapat RM400 dahulu, dengan bakinya dimasukkan ke akaun mereka pada fasa kedua dan ketiga.
Pada pembentangan Bajet 2018 Oktober tahun lepas, Najib mengumumkan penerima BR1M terus menerima bantuan tersebut maksimum sehingga RM1,200. –Sarawakvoice