Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohmad Salleh, secara peribadi menyokong agar hukuman mati terhadap pesalah yang dijatuhi hukuman itu diteruskan.
Namun, katanya JSJN akur jika kerajaan memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati.
“Apabila kabinet telah memutuskan untuk mansuhkan hukuman bunuh, kita ikut sahajalah… kita ini hanya penguatkuasa undang-undang.
“Tapi secara peribadi, saya lebih sokong sekiranya ia dikekalkan, kerana pengedar dadah ini dia merampas satu persatu nyawa anak bangsa kita,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.
Mohmad berkata, bagi kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, polis mempunyai pilihan lain iaitu hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 15 sebatan.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kertas kerja mengenainya kini dalam fasa akhir malah Jabatan Peguam Negara telah memaklumkan pemansuhan itu bakal dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bermula 15 Oktober ini.
Pelaksanaan hukuman mati mandatori di negara ini membabitkan kesalahan dadah, membunuh dan berkaitan pengganas.
Liew berkata kajian hukuman tersebut akan mengambil kira pelbagai aspek dalam memastikan hukuman setimpal diberikan kepada pesalah khususnya kerana membunuh dan pengganas.
Menurutnya sekiranya pemansuhan hukuman mati mandatori ini dapat dimansuhkan, tumpuan diberikan terhadap Seksyen 39B ADB 1952 dan hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Di negara ini, kaedah pelaksanaan hukuman mati adalah menerusi teknik gantung bagi kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah yang ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api. – Malaysiakini