KUCHING: Dua lelaki dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat terkena tembakan semasa memburu semalam.
Difahamkan kes pertama yang melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan berlaku di Munggu Tinggi Tanjung, Batang Ai ketika mangsa memburu bersama abang iparnya iaitu sekitar jam 5 petang.
“Ketika kejadian abang ipar mangsa mendakwa dia menyasarkan tembakan ke arah seekor babi hutan tanpa menyedari mangsa berdiri berdekatan sasaran tersebut sehingga terkena peluru senapang.
“Menyedari perkara tersebut, dia kemudian terus berlari ke arah mangsa dan segera mendapatkan bantuan daripada penduduk di rumah panjang berdekatan,” kata sumber.
Mangsa terdahulunya dikejarkan ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke HUS sekitar jam 3 pagi semalam.
Sementara kes kedua dilaporkan berlaku di Sri Aman melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun yang juga terkena tembakan yang dilepaskan rakannya.
Sumber memberitahu, mangsa bersama tujuh lagi rakannya masuk ke dalam hutan untuk memburu sebelum seorang daripada rakannya terlepas tembakan lalu terkena bahagian kanan badannya.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sri Aman dan tiba di HUS sekitar jam 5.25 petang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata sumber.
Kedua-dua kes tersebut dikatakan telah dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya – Utusan Borneo Online