JAKARTA: Penyelamat Indonesia menjumpai cebisan mayat hari ini selepas pesawat Lion Air terjunam ke dalam laut sebaik berlepas dari ibu kota ini, kata seorang jurucakap.
Juruterbang pesawat yang membawa 189 penumpang, meminta kebenaran berpatah balik sebelum terputus hubungan 13 minit ketika penerbangan.
Penyelamat cuba mencari badan utama pesawat selepas menemui serpihan dan bahagian pesawat yang terapung di Laut Jawa.
Sementara itu laporan laman web Kompas.com, pasukan mencari KNP 348 Pengawal Laut dan Unit Pengawal Tanjung Priok menjumpai sejumlah objek disyaki milik penumpang pesawat JT610 di perairan Tanjung Karawang hari ini.
Penyelaras Pencarian Lapangan dari Tanjung Priok, Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) dikenali Harto berkata, objek ditemui termasuk beg, dompet dan cebisan tubuh.“
Kami menemuinya dalam bentuk sampah namun sebaik kami mendekatinya, ada banyak beg seperti itu dan ia sebenarnya bukan setakat timbunan tetapi cebisan tubuh,” kata Harto.
Berdasarkan pemerhatian Kompas.com, beberapa beg ditemui pegawai musnah. Namun begitu, pegawai menemui sebuah beg mudah alih yang masih utuh. Sebuah dompet ditemui dalam beg dan mengandungi kad pengenalan pemilik bersama wang tunai Rp1.66 juta (RM455.91).K
atanya objek yang ditemui dibawa ke pos pemindahan terletak di Limbungan Kalijabat, di Utara Jakarta.
Pesawat yang dalam perjalanan dari ibu kota ini ke Pangkalpinang terhempas di luar perairan Tanjung Karawang membawa 178 dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi dan tujuh kru. -Reuters/Agensi