KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei menegaskan dia belum bersedia untuk menggantung raket lagi selepas berjuang melawan kanser hidung tahap awal sebelum ini.
Pada sidang media rasmi pertamanya di Akademi Badminton Negara (ABM) Bukit Kiara hari ini, pemain berusia 36 tahun itu berkata dia perlu menilai kembali keadaannya terlebih dahulu sebelum memutuskan masa depannya.
Bagaimanapun, dia belum bercadang untuk bersara ketika ini.
“Saya baru kembali daripada halangan terbesar dalam hidup saya. Semua orang tahu bahawa saya adalah pejuang dan saya pulih dengan baik selepas sesi rawatan di Taiwan.
“Saya sudah mula mengadakan latihan berat dan akan melihat keadaan saya semula sebelum merancang kejohanan pada masa akan datang.
“Mungkin saya kembali bulan depan. Apapun, ketika ini tiada yang lebih penting melainkan kesihatan saya,” kata Chong Wei.-Berita Harian Online