SIBU: Gandingan kerjasama antara DAP dan Pakatan Harapan di bawah teraju kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan oleh Ketua Menteri sebagai perkahwinan politik demi mencapai agenda politik masing-masing dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kedua-dua pemimpin terbabit saling mencerca sebelum ini.
DAP menjadi pengkritik utama kepemimpinan Tun Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya.
Manakala Tun Mahathir pula sering mengecam DAP terutama Lim Kit Siang dengan menyifatkan parti itu sebagai cauvinis.
Malah DAP memberi pelbagai gelaran negatif kepada Tun Mahathir termasuk mahazalim dan kuku besi.
Foto : Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak
“Dahulu pemimpin DAP menyifatkan Dr Mahathir sebagai diktator dan hanya mementingkan diri sendiri tetapi hari ini mereka sudah berbaik-baik,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program ‘Harmony Nite’ bertema ‘United We Stand’ di Pintu Gerbang Sibu di sini, malam tadi.
“Ternyata ini memberi gambaran bahawa pembangkang tidak ada prinsip dalam perjuangan membela nasib rakyat,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu.
Abang Johari meminta pengundi di negeri ini memberi kemenangan lebih besar kepadanya pada PRU14.
Ini, jelasnya, bagi membolehkan usaha menuntut hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) diperhebatkan lagi.
BN Sarawak menyasarkan untuk memenangi 28 kerusi daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.
Pada PRU-14 pembangkang memenangi enam kerusi, iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, Lanang, dan Miri.
Kerusi yang menjadi sasaran untuk dirampas BN ialah Sarikei, Sibu dan Miri.
Malam tadi, ada penyokong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang memaparkan kain rentang “Tolak! Bapa dan anak” “Sibu milik calon SUPP” sebagai usaha untuk memastikan kerusi itu diserahkan kepada SUPP dan bukan kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP).
Kini terdapat usaha Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan untuk menampilkan anaknya, Andrew Wong di kerusi Sibu.
Sibu antara tiga kerusi yang menjadi sasaran untuk dirampas balik daripada pembangkang oleh BN. –Sarawakvoice