KUCHING: Pusat beli-belah AEON Co (M) Bhd pertama di Sabah dan Sarawak, AEON Kuching Central dengan 135 penyewa yang akan mula dibuka pada Jumaat ini, dijangka menjana lebih 1,000 pekerjaan untuk penduduk tempatan.
Pengarah Eksekutif AEON, Poh Ying Loo berkata daripada 1,000 pekerjaan itu, 400 adalah secara langsung daripada perniagaan, pengurusan dan pasar raya AEON.
“Baru-baru ini 320 individu dari sini yang telah diambil bekerja telah dihantar menjalani latihan di Johor, sebelum dibawa semula untuk berkhidmat di sini,” katanya kepada pemberita di akhir kunjungan media ke AEON Kuching Central di sini, hari ini.
Poh berkata AEON membawa pengalaman membeli-belah yang berbeza kepada penduduk tempatan, selain memperkenalkan gaya hidup baharu.
Pusat beli-belah tiga tingkat ini merupakan destinasi sehenti yang menawarkan tarikan berbeza dan menarik kepada pembeli, daripada segmen barang keperluan harian hingga kepada fesyen, gaya hidup, makanan dan minuman serta banyak lagi,”katanya.
AEON Kuching Central terletak di Min Chu Garden, kira-kira 25 minit dari pusat bandar Kuching.
Pusat beli-belah seluas 560,000 kaki persegi itu dilengkapi tiga tingkat ruang runcit dan 1,800 tempat letak kenderaan.
AEON, dengan AEON Kuching Central yang akan beroperasi, kini mempunyai 27 pusat beli-belah dan 35 pasar raya di seluruh negara.– BERNAMA