KUALA LUMPUR – Pasukan No. 3 dunia, Belgium dipaksa berhempas pulas sebelum meledakkan tiga gol pada babak kedua untuk mencatat kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia 2018 FIFA dengan menjinakkan pendatang baharu, Panama 3-0 dalam aksi Kumpulan G di Stadium Fisht, Sochi, Rusia malam ini.
Voli cantik pemain sayap Napoli, Dries Mertens pada minit ke-47 dan dua gol penyerang Manchester United, Romelu Lukaku (69 dan 75) sudah cukup untuk memberi kelegaan buat Belgium setelah bergelut sepanjang babak pertama menentang pasukan No. 55 dunia itu yang membuat penampilan sulung dalam kempen Piala Dunia edisi ini.
Biarpun dilabel sebagai pasukan belasahan, Panama bagaimanapun nyata tidak gugup turun berdepan Belgium yang dibarisi pemain bintang seperti Eden Hazard, Lukaku, Kevin de Bruyne dan Yannick Carasco, sebaliknya mereka berjaya mencemaskan pasukan Belgium dengan beberapa gerakan berbahaya.
Bagi Belgium pula yang pernah menduduki ranking No.1 dunia pada 2015, pastinya mereka tidak mahu menerima nasib yang sama seperti pasukan Brazil, Argentina dan Jerman yang berdepan kesukaran dalam mencari kemenangan ke atas lawan masing-masing.
Namun serangan demi serangan yang dilancarkan anak buah Roberto Martinez itu menemui jalan buntu dan setiap percubaan mereka pula sama ada gagal menepati sasaran atau berjaya dihalang penjaga gol Panama.
Sebaliknya, Panama yang mendapat sokongan padu penonton di Sochi, berjaya mencemaskan pasukan Belgium dengan serangan balas yang pantas, cuma kekurangan pengalaman di pentas tertinggi bola sepak dunia ini menyaksikan mereka kehilangan idea serta penyudah yang tumpul.
Bagaimanapun, babak kedua menyaksikan perubahan momentum dalam pasukan Belgium yang beraksi lebih tenang dan lancar mengatur serangan.
Hasilnya, tendangan voli Mertens memberi kelegaan buat Belgium, sekali gus menyuntik keyakinan rakan sepasukannya mencipta dua peluang gol buat Lukaku, sekali gus membunuh semangat juang pemain Panama.
Keputusan ini menyaksikan Belgium menghuni tangga teratas Kumpulan G dan akan berdepan Tunisia, Sabtu depan. – K! ONLINE