KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Dato Posa Majais memberitahu, persatuan hanya akan mengumumkan barisan kejurulatihan baharu selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan (AGM) FAS 2018/2021 di Limbang.
Menurut Posa, setakat ini pihaknya masih meneliti nama-nama calon jurulatih dan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan kelak.
Tegas beliau, FAS tidak mahu terburu-buru kerana mahu memilih calon terbaik dan berwibawa untuk membawa cabaran Sarawak pada musim depan.
“Kita masih dalam proses menilai calon-calon jurulatih yang ada dan hanya akan mengumumkan nama mereka selepas AGM FAS 2018/2021 kelak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Posa dalam satu kenyataan media baru-baru ini mengumumkan pembubaran pemain, jurulatih dan pengurusan skuad Sarawak ekoran prestasi merudum pada musim ini.
Bagaimanapun, nasib pengendali skuad senior kelahiran Australia, Ian Andrew Gillan masih belum diputuskan.
AGM FAS 2018/2021 bagi memilih barisan kepimpinan baharu badan induk itu akan berlangsung di Limbang pada 27Oktober ini.Nama calon-calon yang akan bertanding untuk merebut jawatan exco FAS akan diketahui esok. – Utusan Borneo Online