Terdapat beberapa ahli parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada kali ini tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14. Pengguguran ini sebagai usaha peremajaan parti PBB selain pelbagai faktor lain seperti kesihatan, pertukaran yang dipersetujui awal, terlalu lama menyandang dan sebagainya.
Difahamkan terdapat lebih daripada lima penyandang bakal digugurkan, namun selepas beberapa situasi dan perkara berlangsung dalam perkembangan politik semasa kini tinggal lima sahaja calon hampir pasti digugurkan.
Cerita-cerita politik tempatan kini mulai hangat diperkatakan di media-media sosial selain dibincangkan di kedai kopi hingga di coffee house di Sarawak hingga ke Kuala Lumpur.
Cerita-cerita dan spekulasi politik ini dijangka berakhir di Putra Jaya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Abdul Razak akan membuat keputusan yang paling akhir untuk memutuskan calon yang bakal bertanding.
Maka masing-masing bakal calon dan penyandang kini sedang menunggu detik yang mendebarkan walaupun masing-masing mengakui bahawa mereka sudah membuat yang terbaik kepada rakyat yang diwakili mereka.
Apa-apa pun menurut sumber dalaman parti, sudah ada nama calon penyandang bakal digugurkan. Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB, iaitu Datuk Awang Tengah Ali Hassan dikatakan telah bertemu dengan calon-calon tersebut pada pagi beberapa hari lepas.
Penyandang parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Abdul Rahman merupakan yang pertama memberitahu secara terbuka di media sosial Facebook, bahawa beliau telah berjumpa Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri dan memohon direhatkan daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas sebab-sebab masalah kesihatan yang dialami,
Beliau juga mengucapkan terima kasih dan memohon maaf sekiranya tersalah kata dan terus mengharapkan BN Sarawak terus berjaya dengan kemenangan cemerlang dan bergaya.
Selain itu, beliau akan meminta penyokong terus memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri dan Perdana Menteri dan meminta agar barisan kepemimpinan PBB dan BN di peringkat parlimen, kampung, rumah panjang, perkampungan Cina terus meneguhkan kubu kuat mereka dan sentisa setia bersama PBB dan Barisan Nasional.
Parlimen Tanjong Manis merupakan antara kubu PBB dan Norah mula bertanding sejak PRU ke-12 pada tahun 2008 dan menang dnegan majority yang besar. Ada sumber berpendapat calon wanita akan menggantikan tempat Norah.
Datuk Norah Abdul Rahman
Namun terdapat juga sumber menyatakan terdapat calon bukan wanita dijangka diletakkan di situ. Sebaliknya dikatakan terdapat ahli PBB yang mewakili generasi muda sesuai dengan agenda Transformasi Nasional 2050 atau TN50 akan diperkenalkan.
Penyandang kedua PBB yang bakal digugurkan akibat faktor kesihatan ialah Datuk Seri Dr James Dawos Mamit merupakan penyandang Parlimen Puncak Borneo.
Kerusi ini merupakan kubu kuat PBB dan majority terdiri daripada etnik Bidayuh. Parlimen ini dahulu dikenali sebagai parlimen Mambong. Meskipun parlimen tersebut merupakan kubu kuat PBB, namun pada kali ini pengundi Mambong inginkan calon mesra rakyat, berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman dalam pentadbiran awam, terlibat banyak aktiviti kemasyarakatan dan diterima semua pengundi.
Sekiranya tersilap pilih, kubu kuat PBB ini boleh goyah, akan berlakunya sabotaj mahupun protes yang boleh menjejaskan rekod kemenangan besar parlimen ini.
Antara nama calon disebut-sebut ialah Datuk Detta Samen dan Profesor Dr Ahi Sarok yang masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri. Datuk Detta Samen ialah peguam manakala Ahi Sarok ahli akademik yang mengajar pentadbiran dasar awam dan kewangan serta sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.
Datuk Ahmad Lai
Penyandang Parlimen Sibuti, iaitu Datuk Ahmad Lai juga dijangka akan digugurkan dan ini juga banyak dipengaruhi oleh factor kesihatan.
Terdapat dua calon yang disebut-sebut untuk menggantikan Ahmad Lai. Ada sumber yang menyatakan anaknya beliau akan bertanding, namun ada sumber lain menyatakan calon muda lain yang akan mengambil tempat Ahmad Lai. Apa-pun terserah kepada kepimpinan tertinggi PBB dan pengerusi BN Malaysia untuk memuktamadkan pilihan terbaik.
Di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia, ada Menteri Besar mencalonkan seseorang untuk bertanding di parlimen namun pengerusi BN melihat ada calon lebih berpotensi yang boleh memenangkan dengan lebih bergaya dan faktor-faktor lain. Ini bermakna Pengerusi BN pusat mempunyai kuasa akhir untuk membuat keputusan terakhir. Demikian menurut sumber yang dekat dengan Putra Jaya.
Tukar Kerusi
Apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas diumumkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban maka penyandang Robert Lawson Chuat terpaksa direhatkan. Ketika itu Douglas Uggah adalah ahli parlimen Betong.
Datuk Seri Douglas Uggah Embas
Namun dikatakan sudah ada persefahaman tidak bertulis bahawa kerusi parlimen Betong akan diserahkan kepada Robert Chuat dan pertukaran kerusi politik itu umpama pertukaran suka sama suka dan mudah dilangsungkan dalam konteks budaya politik BN Sarawak tanpa menerima apa-apa bantahan. Kini Douglas Uggah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan dijangka Robert Lawson Chuat akan menang mudah di Parlimen Betong.
Muka baru PBB yang bakal mewarnai politik Sarawak pada pada kali ini juga berlaku di parlimen Mukah. Panyandangnya, Tan Sri Leo Michael Toyad, 68 tahun dijangka mengundurkan diri dalam arena politik selepas lama terlibat dalam dunia politik.
Beliau mula bertanding sejak pilihan raya umum 1982. Selama 36 tahun menjadi ahli Parlimen beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Luar, Menteri Pelancongan sebelum digugurkan dalam jawatan kabinet.
Kerusi parlimen Mukah dijangka digantikan oleh Datuk Hanifah Tun Taib, namun terdapat nama calon lain yang lain juga disebut-sebut dan popular termasuk seorang tokoh ahli akademik kelahiran Mukah dan ahli arkitek.
Sekian lama aktif dalam politik, ahli politik Melanau sensasi Datuk Wahab Dolah juga dikatakan antara nama yang disebut-sebut bakal digugurkan. Sejauh manakah berita berkenaan benar?
Datuk Wahab Dolah
Penyandang kerusi Igan ini aktif dalam politik sejak tahun 1983 apabila mewakili Matu Daro pada tahun 1983 dan menjadi ahli kabinet Sarawak sebelum meletak jawatan dan bertanding kerusi parlimen Kuala Rajang yang kini dikenali sebagai parlimen Igan.
Wahab Dolah pernah menang tanpa bertanding pada tahun 2004 dan 2008. Namun, bak peribahasa patah tumbuh hilang berganti, Wahab Dolah 67 tahun disebut-sebut bakal digantikan dengan calon baharu.
Terdapat beberapa nama yang disebut-sebut termasuk Ahmad Johnie yang dikatakan agak popular di kawasan tersebut. Proses lobi-melobi berlaku hingga menyebabkan kemeriahan dalam politik di parlimen Igan. Apa-apa pun kuasa terakhir tetap tertakluk kepada Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN. –Sarawakvoice
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur