Calon PBB: Patah tumbuh hilang berganti di Parlimen Sarawak 0 5807

Terdapat beberapa ahli parlimen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada kali ini tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14. Pengguguran ini sebagai usaha peremajaan parti PBB selain pelbagai faktor lain  seperti kesihatan, pertukaran yang dipersetujui awal, terlalu lama menyandang dan sebagainya.

Difahamkan terdapat lebih daripada lima penyandang bakal digugurkan, namun selepas beberapa situasi dan perkara berlangsung dalam perkembangan politik semasa kini tinggal lima sahaja calon hampir pasti digugurkan.

Cerita-cerita politik tempatan kini mulai hangat  diperkatakan di media-media sosial selain dibincangkan di kedai kopi hingga di coffee house  di Sarawak hingga ke Kuala Lumpur.

Cerita-cerita dan spekulasi politik ini dijangka berakhir di Putra Jaya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN)  Datuk Seri Najib Abdul Razak akan membuat keputusan yang paling akhir untuk memutuskan calon yang bakal bertanding.

Maka masing-masing bakal calon dan penyandang  kini sedang menunggu detik yang mendebarkan walaupun masing-masing mengakui bahawa mereka sudah membuat yang terbaik kepada rakyat yang diwakili mereka. 

Apa-apa pun menurut sumber dalaman parti, sudah ada nama calon penyandang bakal digugurkan. Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari  dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Timbalan Presiden PBB, iaitu Datuk Awang Tengah Ali Hassan dikatakan telah bertemu dengan calon-calon tersebut pada pagi beberapa hari lepas. 

Penyandang parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Abdul Rahman  merupakan yang pertama memberitahu secara terbuka di media sosial Facebook, bahawa beliau telah berjumpa  Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri dan memohon direhatkan daripada bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas sebab-sebab masalah kesihatan yang dialami,

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan memohon maaf sekiranya tersalah kata dan terus mengharapkan BN Sarawak  terus berjaya dengan kemenangan cemerlang dan bergaya.

Selain itu, beliau akan meminta penyokong terus memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri dan   Perdana Menteri dan meminta agar barisan kepemimpinan PBB dan BN di peringkat parlimen, kampung, rumah panjang, perkampungan Cina terus meneguhkan kubu kuat mereka dan sentisa setia bersama PBB dan Barisan Nasional.

Parlimen Tanjong Manis merupakan antara kubu PBB dan Norah mula bertanding sejak PRU ke-12 pada tahun 2008 dan menang dnegan majority yang besar. Ada sumber berpendapat calon wanita akan menggantikan tempat Norah.  

Datuk Norah Abdul Rahman

Namun  terdapat juga sumber menyatakan terdapat calon  bukan wanita dijangka diletakkan di situ. Sebaliknya dikatakan  terdapat ahli PBB yang mewakili generasi muda sesuai dengan agenda Transformasi Nasional 2050  atau TN50 akan diperkenalkan.

Penyandang  kedua PBB yang bakal digugurkan akibat faktor kesihatan ialah  Datuk Seri Dr James Dawos Mamit merupakan penyandang Parlimen Puncak Borneo.

Kerusi ini merupakan  kubu kuat PBB dan majority terdiri daripada etnik Bidayuh. Parlimen ini  dahulu dikenali sebagai parlimen Mambong. Meskipun parlimen tersebut merupakan kubu kuat PBB, namun pada kali ini pengundi Mambong inginkan calon  mesra rakyat, berpendidikan tinggi, mempunyai pengalaman dalam pentadbiran awam, terlibat banyak aktiviti kemasyarakatan dan diterima semua pengundi.

Sekiranya tersilap pilih, kubu kuat PBB ini boleh goyah, akan berlakunya sabotaj mahupun protes yang boleh menjejaskan  rekod kemenangan besar parlimen ini.

Antara nama calon disebut-sebut ialah  Datuk Detta Samen dan Profesor Dr Ahi Sarok yang masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.  Datuk Detta Samen ialah peguam manakala Ahi Sarok ahli akademik yang mengajar pentadbiran dasar awam dan kewangan serta sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Datuk Ahmad Lai

Penyandang Parlimen Sibuti, iaitu Datuk Ahmad Lai juga  dijangka akan digugurkan dan ini juga banyak dipengaruhi oleh factor kesihatan.   

Terdapat dua calon yang disebut-sebut  untuk menggantikan Ahmad Lai. Ada sumber yang menyatakan anaknya beliau akan bertanding, namun ada sumber lain menyatakan  calon muda lain yang akan mengambil tempat Ahmad Lai. Apa-pun terserah kepada kepimpinan tertinggi PBB dan pengerusi BN Malaysia untuk memuktamadkan pilihan terbaik.

Di sebuah negeri di Semenanjung Malaysia, ada Menteri Besar mencalonkan  seseorang untuk bertanding di parlimen namun pengerusi BN melihat ada calon lebih berpotensi yang boleh memenangkan dengan lebih bergaya dan faktor-faktor lain. Ini bermakna Pengerusi BN pusat mempunyai kuasa akhir untuk membuat keputusan terakhir. Demikian menurut sumber  yang dekat dengan Putra Jaya.

Tukar Kerusi

Apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas diumumkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban maka penyandang Robert Lawson Chuat terpaksa direhatkan. Ketika itu Douglas Uggah adalah ahli parlimen Betong.

Datuk Seri Douglas Uggah Embas

Namun dikatakan sudah ada persefahaman tidak bertulis bahawa kerusi parlimen Betong akan diserahkan kepada Robert Chuat dan pertukaran kerusi politik itu umpama pertukaran suka sama suka dan mudah dilangsungkan dalam konteks budaya politik BN Sarawak tanpa menerima apa-apa bantahan.  Kini Douglas Uggah dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan dijangka Robert Lawson Chuat akan menang mudah di Parlimen Betong.

Muka baru PBB yang bakal mewarnai politik Sarawak pada pada kali ini juga berlaku di parlimen Mukah. Panyandangnya,  Tan Sri Leo Michael Toyad, 68 tahun dijangka mengundurkan diri dalam arena politik selepas lama terlibat dalam dunia politik.

Beliau mula bertanding sejak pilihan raya umum 1982. Selama 36 tahun menjadi ahli Parlimen beliau pernah menjadi  Timbalan Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Luar, Menteri Pelancongan sebelum digugurkan dalam jawatan kabinet.

Kerusi parlimen Mukah dijangka digantikan oleh Datuk Hanifah Tun Taib, namun terdapat nama calon lain yang lain juga disebut-sebut dan popular termasuk seorang tokoh ahli akademik kelahiran Mukah dan ahli arkitek.

Sekian lama aktif dalam politik, ahli politik Melanau sensasi Datuk Wahab Dolah juga dikatakan  antara nama yang disebut-sebut bakal digugurkan. Sejauh manakah berita berkenaan benar?

Datuk Wahab Dolah

Penyandang kerusi Igan ini  aktif dalam politik sejak tahun 1983 apabila mewakili Matu Daro pada tahun 1983 dan menjadi ahli kabinet Sarawak sebelum meletak jawatan dan bertanding kerusi parlimen Kuala Rajang yang kini dikenali sebagai parlimen Igan.

Wahab Dolah pernah  menang tanpa bertanding pada tahun 2004 dan 2008. Namun, bak peribahasa patah tumbuh hilang berganti, Wahab Dolah 67 tahun disebut-sebut bakal digantikan dengan calon baharu.

Terdapat beberapa nama yang disebut-sebut termasuk Ahmad Johnie yang dikatakan agak popular di kawasan tersebut. Proses lobi-melobi berlaku  hingga menyebabkan kemeriahan dalam politik di parlimen Igan. Apa-apa pun kuasa terakhir tetap tertakluk kepada Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN. –Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15273

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8402

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakan forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news